Jumaat, 12 Januari 2024 | 5:19pm
Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid - Foto BERNAMA
Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid - Foto BERNAMA

RTS Link perlu disambung dengan HSR, LRT, monorel

BATU PAHAT: Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di Johor Bahru, yang dijangka siap pada penghujung 2026, dijangka bakal melonjakkan usaha memperkasakan pengangkutan awam di negeri ini terutamanya yang membabitkan pengangkutan rel, kata seorang pakar rel.

Penyelidik Kanan di Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICoE-Rel) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid, berkata selain menghubungkan pengangkutan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura, salah satu sektor yang akan menerima manfaat daripadanya adalah perkembangan jaringan sistem pengangkutan awam.

Menurutnya, susulan projek itu, semua jaringan pengangkutan dijangka ditambah baik, termasuklah pertimbangan mengenai kemungkinan penggunaan Bas Rapid Transit (BRT) atau pembinaan transit aliran ringan (LRT) yang tertumpu di bandar raya Johor Bahru.

Beliau berkata, kesinambungan kepada RTS Link berkenaan perlu dilaksanakan segera dengan beberapa lagi jaringan pengangkutan rel seperti LRT, monorel dan juga Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi menarik minat orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Kelebihan RTS Link sekiranya beroperasi kelak, selain meningkatkan sektor pelancongan serta memudahkan rakyat Johor terutamanya yang bekerja di Singapura, sektor pendidikan juga akan menerima tempiasnya.

"Kita tahu di Singapura ada beberapa universiti yang bertaraf tinggi, sekali gus menjadi tumpuan, tetapi apa kurangnya di Johor yang mempunyai EduCity, terdapat cawangan beberapa universiti antarabangsa, dan sekiranya adanya RTS ini, tidak mustahil penduduk Singapura akan ke Johor untuk melanjutkan pengajian di sini," kata Nor Aziati.

"Justeru, bagi menarik warga luar ke EduCity perlu ada kesinambungan sistem pengangkutan yang cekap, pantas dan mempunyai kesalinghubungan antara pengangkutan itu, seperti RTS yang berhubung terus dengan LRT atau MRT.

"Selain itu, kesinambungan ini juga perlu sekiranya kita juga tidak mahu penumpang dari Singapura ini hanya sekadar berakhir perjalanannya di Johor Bahru sahaja, tetapi juga akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lain," tambahnya.

Projek RTS Link membabitkan rangkaian rel sepanjang empat kilometer menghubungkan Stesen Bukit Chagar, di Johor Bahru dan Stesen Utara Woodlands di Singapura, yang dijadualkan siap pada Disember 2026, dan dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 pengembara.

Beliau berkata, dengan adanya HSR yang dirancang melalui projek 'Singapore-Kunming Rail Link' itu, limpahan ekonomi akan dapat dirasai apabila beberapa stesen akan berada di Malaysia, malah bandar yang dirancang mempunyai stesen seperti di Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban dan Putrajaya, berpotensi menjadi bandar metropolis apabila ramai pelancong dari tanah besar China akan sampai kesana.

Mengenai hubungan dua hala pula, Nor Aziati berkata projek RTS Link semestinya akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura untuk tempoh jangka panjang.

"Malaysia dan Singapura merupakan dua negara yang unik, masing-masing memerlukan antara satu sama lain bagi beberapa sektor, contohnya dalam sektor pekerjaan dan juga pelancongan.

"Kita (Malaysia) ramai yang ke Singapura untuk bekerja sejak dahulu lagi, manakala ramai rakyat dari negara Sebarang Tambak itu datang ke sini untuk untuk melancong dan berbelanja, dan ia dijangka meningkat," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, pertama kali bertemu di tapak projek RTS dan menyaksikan detik bersejarah 'penyambungan' projek berkenaan antara Malaysia dan Singapura.

Penyambungan titik pertemuan jejambat marin projek itu antara Johor Bahru dan Singapura, secara simboliknya menyatakan komitmen berterusan kedua negara terhadap projek bernilai berbilion ringgit itu.

-BERNAMA

Berita Harian X