Jumaat, 12 Januari 2024 | 11:16am

SC dakwa Pengarah Pixelvest babit pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap Chin Wai Lan (Sophia Chin), Pengarah Pixelvest Sdn Bhd (Pixelvest), kerana kesalahan pengubahan wang haram yang membabitkan lebih RM164.5 juta.

Pengawal selia pasaran modal itu dalam satu kenyataan berkata, Sophia Chin dikenakan pertuduhan atas 17 kesalahan di bawah seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana menerima hasil daripada aktiviti yang

menyalahi undang-undang.

Mengikut pertuduhan, Sophia Chin menerima hasil haram itu dalam akaun bank peribadinya serta dalam beberapa syarikat di mana dia menjadi pengarah/rakan kongsi.

Syarikat ini termasuk Pinetree Field Sdn Bhd, SC Wealth Planners Sdn Bhd, Quarters Venture Sdn Bhd, New Straits Venture Sdn Bhd dan Quarters Capital PLT.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 23 Disember 2020 dan 2 Oktober 2022 di Kuala Lumpur dan Selangor.

Tertuduh menuntut dibicarakan untuk kesemua 17 pertuduhan terhadapnya di dua mahkamah berasingan.

Hakim Mahkamah Sesyen Datin Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM7 juta dengan dua penjamin.

Dia diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Di mahkamah berasingan, Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus turut membenarkan Sophia Chin diikat jamin sebanyak RM7 juta dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengenakan syarat yang sama terhadap penyerahan pasport dan melaporkan kepada SC.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan terhadap Sophia Chin adalah kesinambungan daripada tindakan penguatkuasaan SC berhubung kes yang sama terhadap dua individu lain kelmarin.

SC telah mengenakan pertuduhan terhadap Ang Jen Chuen (Dexter Ang), dan Syaiful Riezal Ahmad (Syaiful Riezal) atas kesalahan serupa di bawah seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA pada 10 Januari 2024.

Berita Harian X