Selasa, 9 Januari 2024 | 4:10pm
Loke pada taklimat prestasi Prasarana 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA
Loke pada taklimat prestasi Prasarana 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

'Keuntungan bukan jadi keutamaan bagi Prasarana'

KUALA LUMPUR: Kerajaan lebih memberi fokus kepada peningkatan kecekapan dan perkhidmatan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berbanding menumpukan kepada prestasi kewangan syarikat itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah itu dapat membantu memperkukuhkan sistem pengangkutan awam negara, sekali gus mensejahterakan kehidupan rakyat.

Beliau berkata, purata jumlah penumpang harian rel dan bas Prasarana pada 2023 meningkat 44 peratus kepada 982,000 penumpang berbanding tahun sebelumnya dan jika dilihat secara kasar ia seperti meningkatkan kedudukan kewangan syarikat itu.

Namun, katanya dari sudut operasi, situasi itu adalah sebaliknya kerana apabila jumlah penumpang bertambah, ia menyebabkan kos operasi melonjak.

Katanya, hal ini adalah kerana Prasarana memerlukan pertambahan tren dan bas, mengambil lebih ramai kakitangan serta melakukan lebih banyak penyelenggaraan.

"Pengangkutan awam ini jarang dapat untung. Bagi Prasarana, Kementerian Pengangkutan tidak melihat kepada untung atau rugi tapi lebih kepada perkhidmatan untuk orang ramai. Sebab perkara ini (pengangkutan awam) akan berbalik kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan.

"Fokus Kementerian Pengangkutan adalah meningkatkan dasar pengangkutan awam terlebih dahulu demi rakyat," katanya selepas taklimat prestasi Prasarana 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Loke berkata, perkhidmatan rel dan bas di bawah Prasarana menunjukkan peningkatan prestasi pada 2023 dengan purata jumlah penumpang harian rel dan bas naik 44 peratus kepada 982,000 penumpang berbanding 680,000 penumpang pada 2022.

Beliau berkata, purata jumlah penumpang harian rel dan bas itu dijangka akan naik kepada 1.19 juta atau 21 peratus pada tahun ini.

Selain itu, katanya, jumlah kegagalan operasi juga turun dengan ketara merentasi semua perkhidmatan laluan rel Prasarana.

"Penurunan menyeluruh kegagalan operasi keempat laluan rel Prasarana naik 60 peratus dan ia dijangka akan terus dipertingkatkan sebanyak 35 peratus tahun ini.

"Prasarana juga ketika ini wajib menghantar laporan operasi setiap minggu ketika mesyuarat pasca Kabinet. Ini membolehkan kerajaan memantau secara berkala, selain memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu," katanya.

Berita Harian X