Isnin, 8 Januari 2024 | 3:56pm
Insentif kerajaan dalam Belanjawan 2024 berpotensi menstabilkan harga hartanah -NSTP/Rohanis Shukri
Insentif kerajaan dalam Belanjawan 2024 berpotensi menstabilkan harga hartanah -NSTP/Rohanis Shukri

Jumlah, nilai urus niaga rumah semakin meningkat

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah kediaman bertambah baik dalam sembilan bulan pertama 2023 dengan kedua-dua jumlah urus niaga dan nilai mencatat pertumbuhan tahun ke tahun masing-masing sebanyak 1.3 peratus dan 3.5 peratus.

Bagaimanapun, rumah baharu yang ditawarkan untuk dijual di pasaran utama merosot pada 2023 berikutan kebimbangan berkaitan rumah siap yang belum terjual, ia juga dikenali sebagai hartanah tidak terjual dan ketidakpadanan pasaran, kata perunding hartanah, Knight Frank Malaysia.

Pengarah Eksekutif Kanan Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Judy Ong, berkata walaupun terdapat tekanan inflasi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tinggi, pasaran kediaman secara keseluruhan adalah positif, disokong oleh inisiatif dan insentif kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah.

Ia turut disokong oleh semakan semula kriteria baru-baru untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) baru-baru ini yang membawa kepada prospek optimistik dan berhati-hati untuk tahun ini, kata Ong dalam satu kenyataan selepas mengeluarkan Sorotan Hartanah Separuh Kedua 2023 Knight Frank Malaysia.

Pada suku ketiga 2023, ekonomi Malaysia berkembang 3.9 peratus, dibantu oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, keadaan pekerjaan yang bertambah baik, pemulihan dalam sektor pelancongan dan peningkatan aktiviti pembinaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Knight Frank Property Hub, Enoch Khoo, berkata duti setem sebanyak 4.0 peratus ke atas memorandum pemindahan (MoT) untuk bukan warganegara dan syarikat milik asing berkuat kuasa 1 Januari 2024 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 berpotensi menstabilkan dan mengawal harga tanah serta hartanah.

Bagi sektor ruang pejabat, lima tawaran penting di Kuala Lumpur dan Selangor menyaksikan nilai gabungan sebanyak RM837.8 juta bagi tempoh di bawah kajian.

Kenaikan dan minat yang meningkat ini menunjukkan bahawa keyakinan kembali dengan entiti korporat mencari ruang pejabat tambahan untuk memenuhi keperluan pertumbuhan.

Selain itu, jualan runcit menguncup 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2023 disebabkan oleh kuasa perbelanjaan pengguna semakin rendah dalam keadaan inflasi yang tinggi.

Sehubungan itu, pertumbuhan jualan runcit tahun 2023 telah disemak semula kepada 2.7 peratus berbanding unjuran 4.8 peratus sebelumnya.

Knight Frank Malaysia berkata, tiga pusat beli-belah/ komponen runcit sokongan dengan ruang kolektif kira-kira 1.7 juta kaki persegi dijadualkan siap atau dibuka pada tahun 2024.

Ia juga berkata, kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) enam hingga lapan peratus yang akan berlaku berkuat kuasa 1 Mac 2024, ditambah dengan pengenalan Cukai Barang Bernilai Tinggi atau Cukai Barang Mewah lima hingga 10 peratus dan penstrukturan semula subsidi mungkin menjejaskan pertumbuhan runcit.

"Peruncit akan mengalami liabiliti cukai yang lebih tinggi dan akan menyaksikan peningkatan kos operasi, berpotensi mengurangkan margin keuntungan mereka dan ia boleh membawa kepada pelarasan harga, memberi kesan kepada pengguna," kata Pengarah Pengurusan Hartanah Knight Frank Malaysia, Yuen May Chee.

-BERNAMA

Berita Harian X