Jumaat, 5 Januari 2024 | 4:32pm
Bank Negara Malaysia (BNM) -NSTP/Hazreen Mohamad
Bank Negara Malaysia (BNM) -NSTP/Hazreen Mohamad

BNM dijangka kekalkan OPR pada mesyuarat pertama 2024

KUALA LUMPUR: Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.0 peratus pada mesyuarat dasar monetari pertamanya tahun ini pada 24 Januari.

BNM telah mengekalkan OPR pada paras berkenaan sejak Mei 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, MARC berkata pandangannya itu disokong oleh trend inflasi yang semakin reda, prospek ringgit yang lebih kukuh, dan jangkaan pemotongan Kadar Dana Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang akan menyokong perbezaan kadar faedah pada 2024.

Katanya, inflasi tahun penuh 2023 dianggarkan berada dalam julat unjuran Kementerian Kewangan iaitu 2.5 peratus hingga 3.0 peratus.

"Risiko kenaikan inflasi dalam beberapa bulan akan datang boleh berpunca daripada kenaikan harga komoditi, harga makanan yang lebih tinggi daripada ketegangan geopolitik yang disebabkan gangguan rantaian bekalan, dan tekanan daripada permintaan domestik yang lebih kukuh.

"Kami menjangkakan prospek yang lebih cerah untuk sektor pembuatan di tengah-tengah beberapa petunjuk tentatif permintaan yang semakin kukuh ditambah pula dengan jangkaan pemulihan dalam industri semikonduktor global," katanya.

Menurut agensi penarafan itu, pihaknya juga berpendapat sebarang peningkatan dalam ketegangan di Laut Merah, konflik di Asia Barat, keputusan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada masa hadapan, dan jangkaan pertumbuhan global yang berubah-ubah mempunyai kesan ke atas rantaian bekalan di seluruh dunia dan harga komoditi pada 2024.

Katanya, pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bertindak balas terhadap mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Disember yang lebih cenderung menaikkan kadar faedah.

"Di AS, data yang menggalakkan secara konsisten mengenai inflasi yang memperlahan mendorong unjuran pemotongan kadar yang lebih tinggi.

"Walaupun unjuran inflasi Fed untuk 2024 telah diturunkan, unjuran bagi pengangguran yang tidak berubah untuk 2024 boleh membayangkan keyakinan yang semakin meningkat untuk memenuhi sasaran inflasi tanpa kehilangan pekerjaan yang ketara.

"Arah aliran disinflasi yang berterusan dalam ekonomi maju telah mengekalkan rali pasaran daripada kenaikan November dalam indeks ekuiti dan bon.

"Selain itu, sebaran negatif antara hasil MGS 10 tahun dan Perbendaharaan AS telah mengecil, yang akan terus menyokong peningkatan dalam aliran asing ke dalam pasaran tempatan dan peningkatan nilai ringgit," kata firma penarafan itu.

Berita Harian X