Rabu, 3 Januari 2024 | 11:40am
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong - Gambar ihsan PROTON
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong - Gambar ihsan PROTON

PROTON catat prestasi jualan terbaik sejak 2012

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) mengakhiri 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak 2012, apabila menjual 154,611 unit untuk pasaran domestik dan eksport.

PROTON dalam satu kenyataan berkata, pencapaian jualan tahun lalu itu adalah rekod pertumbuhan bagi lima tahun berturut-turut, mengatasi rekod puncaknya iaitu 141,432 unit yang dijual pada 2022.

"Jualan 2023 mencatat peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 2022. Penguasaan pasaran keseluruhan syarikat dijangka sebanyak 19.4 peratus dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 794,948 unit.

"Hasilnya, PROTON turut menamatkan 2023 di tempat kedua dalam jualan keseluruhan, pencapaian tahun kelima berturut-turut dalam mengekalkan kedudukannya," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, 2023 menjadi satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif disokong jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding jumlah tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya.

"Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan jumlah pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga menjadi tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti.

"Menjelang tahun 2024, kami yakin kami akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami S70," katanya dalam kenyataan sama.

Menurut PROTON, pelancaran barisan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) PROTON yang terdiri daripada Proton X50, X70 dan X90 telah menambah lebih 200,000 unit kepada jumlah jualan sejak Disember 2018, namun peningkatan semula permintaan untuk model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) telah memacu pertumbuhan jualan pada 2023.

"Proton Saga memulakan dan mengakhiri tahun lalu sebagai model Proton terlaris dengan mencatatkan jualan 70,184 unit, prestasi terbaiknya sejak 2012, sekali gus meletakkannya sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia.

"Pertumbuhan jumlah yang luar biasa untuk tahun ini iaitu 25.6 peratus terdiri terutamanya daripada pembeli kereta kali pertama yang mahukan kenderaan yang selamat dan boleh dipercayai yang juga menyeronokkan untuk dipandu," katanya.

Peningkatan terbesar dalam rangkaian model PROTON adalah Proton Persona. Selepas mengalami kelewatan teruk akibat kekurangan cip pada 2022, jualan untuk sedan segmen B itu melonjak semula sebanyak 48.9 peratus kepada 24,362 unit, meletakkan model itu di tempat kedua dalam kelasnya.

Kereta 'hatchback' segmen B, Proton Iriz turut terjejas oleh isu cip tahun lalu dan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 33.8 peratus kepada 7,639 unit pada 2023.

Proton Exora mengakhiri pengeluarannya dengan kenaikan jualan sebanyak 4.6 peratus iaitu 4,473 unit terjual dan menunjukkan bahawa permintaan di kalangan pembeli pasaran sasaran kekal kukuh.

Sehingga kini, lebih 194,000 unit telah terjual, menjadikannya kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia.

Bagi SUV siri X, Proton X50 dan Proton X90 mengakhiri tahun sebagai peneraju pasaran bagi segmen masing-masing.

Permintaan untuk Proton X50 kekal kukuh dengan 31,829 unit dijual di Malaysia dan pasaran eksport pada 2023, manakala X90 pula terus menjadi kuasa dominan dalam pasaran SUV segmen D dan mengakhiri tahun dengan 4,815 unit terjual sejak dilancarkan pada 7 Mei 2023.

Bagi Proton X70, SUV segmen C kedua paling popular bagi 2023 dijual sebanyak 11,200 unit terjual.

"Bagi Proton S70, penghantaran pelanggan akan bermula pada tahun 2024 dan sehingga kini, lebih 5,000 tempahan telah diterima. Jadi dijangka model itu akan menyumbang kepada jumlah jualan yang banyak pada tahun ini.

Berita Harian X