Isnin, 1 Januari 2024 | 1:18pm
Ahmad dan Mohamad Zabawi (kanan) melancarkan hibrid nanas baharu MS16 di Pontian - Gambar ihsan MARDI
Ahmad dan Mohamad Zabawi (kanan) melancarkan hibrid nanas baharu MS16 di Pontian - Gambar ihsan MARDI

MARDI perkenal hibrid baharu nanas MS16

SERDANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan hibrid baharu nanas yang dikenali sebagai MS16.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata hibrid baharu nanas ini adalah hasil daripada kerjasama pertukaran janaplasma MARDI pada 1993 dengan Maroochy Horticultural Station di Nambour, Queensland Australia yang membawa kepada pengenalan jenis nanas tanpa duri ke Malaysia dan kemudian dikacukkan dengan nanas Josapine bagi menghasilkan populasi hibrid tempatan.

"Penyelidikan ini membabitkan kajian lebih 20 tahun bagi menghasilkan hibrid terbaik untuk kegunaan pasaran nanas segar negara," katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran hibrid nanas baharu MS16 itu disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di Stesen MARDI Pontian, baru-baru ini.

Mohamad Zabawi berkata, pada tahun 2022 pengeluaran nanas Malaysia secara keseluruhannya adalah sebanyak 537,231 tan metrik dengan jumlah eksport sebanyak 14,455 tan metrik menjadikan industri nanas di Malaysia merupakan satu sektor pertanian penting yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara.

Justeru, beliau berkata beberapa faktor penting termasuklah sumber genetik/varieti baharu nanas perlu diberi keutamaan bagi memastikan penghasilan nanas tempatan secara berterusan dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

Selain itu, katanya pemilihan varieti terbaik, unggul, berkualiti, berhasil tinggi, kurang serangan perosak dan penyakit serta mudah beradaptasi dengan perubahan iklim turut diutamakan.

"Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, MARDI telah mengambil inisiatif dalam penyelidikan dan pembangunan dengan memperkenalkan hibrid baharu nanas MARDI yang dikenali sebagai MS16," katanya.

Beliau menambah, hibrid nanas MS16 menunjukkan prestasi terbaik dari ciri saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak untuk keperluan pengeluaran bahan tanaman dan bersifat toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.

"Berdasarkan kajian penerimaan dan kecenderungan pengguna mendapati MS16 setanding dengan varieti nanas MD2 dari segi kualiti rasa kerana nanas MS16 mempunyai ciri istimewa iaitu rasa buah yang manis dengan nilai kemanisan 16 hingga 21 peratus Brix, isi berwarna kekuningan, tekstur buah agak rangup, beraroma dan kurang rasa lidas.

"Namun, MS16 dapat disimpan dalam jangka masa sekitar tujuh hari pada suhu rendah (10 darjah Celcius) dan lima hari pada suhu ambien (25 darjah Celcius) yang membolehkannya dipasarkan di pasaran tempatan sebagai nanas segar dan produk terproses seperti jus minuman," katanya.

Di samping itu, jelas beliau, penghasilan sulur yang banyak dan daun tanpa duri juga dijangka menjadi faktor yang diminati petani kerana meningkatkan penjimatan kos pengeluaran hasil dan penyelenggaraan ladang.

"Selain itu, MS16 juga juga boleh ditanam di tanah mineral yang boleh membantu mempertingkatkan keluasan kawasan penanaman nanas negara yang pada masa ini lebih tertumpu di kawasan tanah gambut.

"Ini sekali gus akan dapat membantu meningkatkan produktiviti dan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha tanaman nanas serta menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X