Ahad, 31 Disember 2023 | 10:15am
Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng. - NSTP/OWEE AH CHUN.

Risiko deflasi rendah, inflasi dijangka kembali ke 2.0 hingga 3.0 peratus - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR: Risiko Malaysia terjebak dalam situasi deflasi adalah rendah dan trend penurunan kadar inflasi pada masa ini dijangka bersifat sementara, kata penganalisis.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata penurunan inflasi pengguna kepada 1.5 peratus pada November 2023 mencerminkan trend disinflasi global yang dalam kes Malaysia telah menurun di bawah paras trend dua hingga tiga peratus.

Beliau berkata, walaupun tekanan tolakan kos telah reda di tengah-tengah permintaan global dan domestik yang lemah, inflasi di bawah trend dijangka bersifat sementara.

Katanya, kadar inflasi semasa di bawah trend akan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh isi rumah sejak tercetusnya Perang Russia-Ukraine pada Februari 2022.

"Bagaimanapun, trend 'disinflasi' semasa dijangka akan berubah apabila kerajaan mula merasionalkan subsidi bahan api tahun depan.

"Pemansuhan subsidi bahan api secara beransur-ansur dijangka akan menghentikan kejatuhan inflasi dan menaikkannya kepada kadar aliran 2.0 hingga 3.0 peratus pada 2024," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan Malaysia berdepan situasi deflasi.

Deflasi ialah kadar inflasi berada di bawah paras sifar atau negatif, sementara disinflasi pula ialah kadar inflasi menurun tetapi masih lagi positif.

Sementara itu, Profesor Adjung Tun Ahmad Sarji School of Goverment and Public Services (TASSGPS) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, berkata risiko deflasi adalah rendah kerana ruang untuk dasar monetari mengembang masih terbuka, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan beberapa kenaikan kadar faedah sebelum ini.

Beliau berkata, penurunan kadar inflasi keseluruhan 1.5 peratus yang dicatatkan pada November 2023 adalah petanda baik kerana inflasi teras juga terus menurun iaitu dua peratus pada November 2023.

Katanya, keadaan itu menunjukkan kadar inflasi di kebanyakan negara maju yang mengalami tekanan menaik sebelum ini turut menurun.

"Oleh itu, permintaan untuk barangan dan perkhidmatan Malaysia oleh negara luar dijangka akan meningkat apabila negara maju mengamalkan kadar monetari mengembang berlatar belakangkan inflasi yang rendah," katanya.

Zulkiply menjelaskan inflasi bukan penyumbang utama kepada kos sara hidup, namun ia cuma memberi kesan sedikit terhadap kos sara hidup.

Sebaliknya, beliau berkata, peningkatan pendapatan adalah lebih penting untuk menangani kos sara hidup.

Pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga tidak melihat akan berlaku deflasi kerana pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan dijangka akan lebih tinggi berbanding tahun ini.

Beliau berkata, peningkatan aktiviti ekonomi tahun depan, sekali gus akan menaikkan kadar inflasi.

Pada masa yang sama, katanya, pengenalan subsidi bersasar juga akan menyebabkan inflasi kembali meningkat.

Berita Harian X