Rabu, 20 Disember 2023 | 9:52pm
Datuk Hasan Azhari Idris - NSTP/Faiz Anuar
Datuk Hasan Azhari Idris - NSTP/Faiz Anuar

Syarikat Selangor berminat melabur di Nusantara, Indonesia

JAKARTA: Beberapa syarikat milik kerajaan negeri Selangor menunjukkan minat tinggi untuk melabur dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, demikian menurut agensi penggalakan pelaburan, Invest Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris, berkata syarikat-syarikat terbabit terlibat dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan kediaman, perkhidmatan kesihatan, tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa buangan.

"Kami berminat dalam potensi kerjasama pembangunan daripada peringkat awal projek ini dan untuk menyediakan kemahiran dan kepakaran," katanya semasa pertemuan dengan media Indonesia dan Malaysia, di sini.

Invest Selangor merupakan salah satu peserta yang menyertai misi pemecutan eksport yang diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Indonesia selama empat hari yang berakhir esok.

Menurut Hasan Azhari, agensi itu akan melibat urus secara dengan Nusantara Capital City Authority (OIKN) dan menimbang kemungkinan menyerahkan surat hasrat.

"Selepas kembali ke Malaysia, kami akan merancang penglibatan Selangor dalam pembangunan Nusantara," katanya.

Datin Paduka Norazlina Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Bhd, syarikat milik kerajaan negeri Selangor melahirkan minat untuk meneroka pelaburan dalam sektor hartanah, tenaga hijau dan produk perubatan diperakui halal.

"Terdapat banyak penyedia penjagaan kesihatan di Balikpapan, Kalimantan Timur. Jika boleh, kami ingin bekerjasama dengan syarikat penjagaan kesihatan tempatan untuk membawa barangan Indonesia ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, berharap agar Selangor dapat menyertai program pembangunan Nusantara dengan bekerjasama bersama kementerian, agensi dan syarikat kerajaan Indonesia.

"Ini adalah satu inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dua hala bagi tempoh jangka masa panjang," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X