Rabu, 20 Disember 2023 | 1:03pm
Setiap 10 sen seliter kenaikan harga bahan api akan melonjakkan kadar inflasi tahunan sebanyak 0.3 mata peratusan -NSTP/Aizuddin Saad
Setiap 10 sen seliter kenaikan harga bahan api akan melonjakkan kadar inflasi tahunan sebanyak 0.3 mata peratusan -NSTP/Aizuddin Saad

Rasionalisasi subsidi minyak mungkin dilaksana berperingkat

KUALA LUMPUR: Proses dan tempoh masa rasionalisasi subsidi dijangka dilaksanakan secara berperingkat, mengambil isyarat daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion pada 2024 berbanding rekod tertinggi subsidi RON95 dan diesel berjumlah RM41.75 bilion pada 2022.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam laporan tinjauan Malaysia bagi 2024 berkata, rasionalisasi subsidi bahan api dan seterusnya pelarasan harga bahan api mesti dibuat secara berperingkat bagi mengimbangi kesannya terhadap inflasi, yang dijangka kembali meningkat kepada 3.0 peratus tahun depan berbanding anggaran 2.6 peratus pada tahun ini.

Justeru, katanya ia berpandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus tahun depan, walaupun terdapat kemungkinan berlaku pemotongan kadar faedah dalam kalangan ekonomi negara maju dan ASEAN.

"Kami menganggarkan setiap 10 sen seliter kenaikan harga bahan api akan melonjakkan kadar inflasi tahunan sebanyak 0.3 mata peratusan," katanya.

Bank pelaburan itu menambah, risiko peningkatan lain terhadap inflasi pada 2024 adalah potensi impak kenaikan beberapa cukai berasaskan kepenggunaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Ia berkata, antaranya kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus bagi kebanyakan perkhidmatan, cukai gula, pengenalan cukai barangan bernilai tinggi selain memperluaskan asas cukai jualan untuk memasukkan barangan bernilai rendah.

"Bagaimanapun, kenaikan inflasi akan turut diredakan oleh jangkaan kami bahawa ringgit akan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dengan kemungkinan mencecah RM4.40 daripada RM4.70 pada akhir 2023.

"Tinjauan ini mencerminkan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS akan dipotong di tengah-tengah OPR yang stabil, sekali gus mengecilkan perbezaan kadar faedah yang telah melebar ke paras paling tinggi dalam sejarah tahun ini.

"Selain itu, pelaksanaan beberapa pelan tindakan makro adalah positif kepada tahap keyakinan pelabur dan perniagaannya, seterusnya melimpah kepada ringgit," katanya.

Maybank IB berkata, rasionalisasi subsidi bahan api pada 2024 dijangka menumpukan kepada usaha untuk menangani ketirisan, justeru pelaksanaan secara bersasar dan berperingkat adalah perlu untuk mengimbangi kesannya terhadap inflasi serta kos sara hidup.

Ia berkata, ada keperluan segera untuk menangani ketirisan serius yang berjumlah RM10 bilion daripada kos tahunan sekitar RM18 bilion subsidi diesel dengan cara penguatkuasaan yang tegas.

Katanya, kerajaan perlu memastikan bahawa hanya penerima manfaat yang layak mengikut jenis kenderaan dan industri, dibenarkan untuk mendapatkan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi, yang kebanyakannya adalah kepada pengangkutan awam.

"Menangani ketirisan subsidi diesel menerusi penguatkuasaan yang mantap boleh meminimumkan keperluan untuk menaikkan harga diesel bersubsidi bagi merapatkan jurang dengan harga diesel tanpa subsidi, yang menjadi punca ketirisan.

"Ini sekali gus mengimbangi kesan inflasi daripada kos pengangkutan dan logistik yang lebih tinggi," katanya.

Maybank IB menambah, kerajaan pada masa sama telah menegaskan bahawa individu atau isi rumah berpendapatan tinggi tidak sewajarnya mendapat manfaat daripada subsidi.

Katanya, dari segi subsidi bahan api, 35 peratus dinikmati oleh kumpulan berpendapatan T20 berbanding dengan 41 peratus kumpulan M40 dan hanya 24 peratus oleh kumpulan B40.

"Bagi melaksanakan subsidi bahan api bersasar, sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah penting untuk 'menguji' tahap kelayakan subsidi bersasar, terutamanya RON95, mengikut pendapatan boleh guna bersih," katanya.

Berita Harian X