Rabu, 13 Disember 2023 | 5:13pm
Muhammad Sanusi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO hari ini -NSTP/Ahmad Mukhsein Mukhtar
Muhammad Sanusi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO hari ini -NSTP/Ahmad Mukhsein Mukhtar

Kedah bekerjasama dengan pelabur Itali bangun projek KXP

ALOR SETAR:Kerajaan negeri terus komited untuk membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dengan menjalinkan kerjasama dengan pelabur dari Itali.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama itu adalah dengan Enav Group, yang merupakan perusahaan memfokus kepada penyediaan layanan navigasi udara dan pengurusan lalu lintas udara.

Katanya, syarikat terbabit akan menyediakan latihan, pemindahan teknologi, peralatan dan pendekatan terkini dalam industri penerbangan bagi merealisasikan projek berkenaan.

"Saya telah ke Itali baru-baru ini untuk melihat kecanggihan teknologi yang ditawarkan syarikat berkenaan dan saya rasa ia akan menjadi teknologi masa hadapan yang boleh diguna pakai dalam industri penerbangan.

"Selain itu, mereka turut menyediakan latihan, pemindahan teknologi dan peralatan terkini yang mampu merealisasikan KXP. Kerjasama itu juga antaranya bertujuan untuk kebolehlaksanaan 'Digital Tower Technology' untuk diaplikasikan di Kedah Aerotropolis," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, dalam lawatan kerja ke Itali, beliau dan delegasi Kedah turut dibawa melawat ke pusat kawalan Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci - Fiumicino yang mengendalikan 760 pesawat sehari, yang mana pengendalian pesawat meningkat kepada 840 buah menjelang Krismas.

Sementara itu, Muhammad Sanusi sekali menekankan bahawa projek KXP, yang merupakan projek berimpak tinggi itu akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa membabitkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor, namun bercadang untuk menghentikan pembinaan KXP.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah juga telah menggesa Kerajaan Persekutuan memberi sokongan terhadap pembangunan projek KXP atau Kedah Aerotropolis.

Titah baginda, sokongan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP itu adalah demi manfaat menyeluruh kepada negara khususnya untuk merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara tanah air.

Berita Harian X