Isnin, 11 Disember 2023 | 5:50pm
Chin Tong pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini - Foto BERNAMA
Chin Tong pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini - Foto BERNAMA

Eksport halal Malaysia RM44.17 bilion sehingga Oktober

KUALA LUMPUR: Nilai eksport bagi industri halal negara sehingga Oktober ini bernilai RM44.17 bilion, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau berkata pada tahun lalu, nilai eksport sektor halal Malaysia yang meliputi produk barangan makanan dan minum, bahan ramuan dan produk kosmetik melonjak 64 peratus kepada RM59.46 bilion berbanding pada 2021.

"MITI menerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa mempromosikan produk tempatan ke luar negara termasuk produk halal dari masa ke semasa menerusi penyediaan platform dan kempen perniagaan melalui acara utama seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai usaha kerajaan untuk menaikkan nilai eksport industi halal negara yang berjumlah RM59.46 bilion pada 2022 berbanding peringkat global sekitar RM13.86 trilion.

Chin Tong berkata, MIHAS edisi ke-19 merekodkan jualan produk halal mencecah RM3 bilion iaitu 24 peratus lebih tinggi berbanding sasaran selain berjaya memadankan 469 syarikat tempatan dengan 231 pembeli antarabangsa dari 44 negara.

Menurut beliau, Majlis Pembangunan Industri Halal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah berlangsung dua kali pada tahun ini menyasarkan pengurangan birokrasi terhadap proses mendapatkan pensijilan halal Malaysia.

Selain itu, langkah sinergi turut dimulakan dengan penglibatan daripada agensi utama MITI, HDC, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, MATRADE, SIRIM, Jabatan Standards Malaysia dan kerajaan tempatan, katanya.

"Ini juga bertujuan untuk memacu usaha pembangunan industri halal melalui Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 mengambil kira penyertaan aktif Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana termasuk bumiputera serta mempergiat pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan serta inovasi halal," kata Chin Tong.

Beliau berkata, teras strategik kedua HIMP yang membuka peluang pasaran baharu untuk produk halal di peringkat antarabangsa menggariskan tiga inisiatif yang mampu membantu meningkatkan pasaran global iaitu, mempertingkat kerjasama eksport dengan negara sasaran, mempromosi jenama halal Malaysia dan memperkukuh kerjasama strategik dengan syarikat multinasional.

-BERNAMA

Berita Harian X