Ahad, 10 Disember 2023 | 2:04pm
Ono (duduk empat dari kiri) bersama Takahashi (duduk tiga dari kiri) pada acara ‘Sedap! SAITAMA: Exhibition featuring food and sake from Saitama’ di Kuala Lumpur - Foto BERNAMA
Ono (duduk empat dari kiri) bersama Takahashi (duduk tiga dari kiri) pada acara ‘Sedap! SAITAMA: Exhibition featuring food and sake from Saitama’ di Kuala Lumpur - Foto BERNAMA

Wilayah Saitama berminat melabur industri makanan halal, jentera

KUALA LUMPUR: Wilayah Saitama, yang berada di kedudukan kelima dari segi populasi dan produktiviti ekonomi dalam kalangan wilayah di Jepun, sedang meninjau peluang pelaburan di Malaysia dalam industri makanan halal dan jentera automasi.

Gabenornya, Motohiro Ono, berkata kini terdapat 20 syarikat dari Saitama dengan pelaburan yang kukuh dalam sektor pembuatan makanan, automasi dan elektronik di Malaysia.

"Terdapat banyak syarikat dari Saitama yang mahu memasuki pasaran Malaysia dengan memperkenalkan komoditi dan meninjau peluang untuk melabur," katanya kepada Bernama pada acara 'Sedap! SAITAMA: Exhibition featuring food and sake from Saitama' yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Ono dalam misi ekonomi selama tiga hari ke Malaysia dari 7 November 2023, untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.

Menurut gabenor itu, ini merupakan kali pertama Wilayah Saitama menghantar misi ekonomi ke Malaysia.

Dalam lawatan ini, Ono juga telah bertemu pegawai dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membincangkan langkah meningkatkan hubungan dua hala.

"Menarik pelaburan dan orang ramai dari seluruh dunia, Malaysia mempunyai ekonomi yang paling pesat berkembang dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan dijangka berkembang lebih jauh pada masa depan," katanya.

Beliau menekankan bahawa Saitama, yang terletak hanya di utara ibu negara Jepun, Tokyo, mempunyai banyak untuk ditawarkan kepada Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasanya sebanyak AS$161 bilion dan industri makanan yang berkembang maju.

"Saitama sentiasa mempunyai banyak pengeluar makanan dan industri makanan kami menduduki tempat kedua dalam negara dari segi penghantaran barangan perkilangan," katanya.

Selain itu, katanya Saitama juga kaya dengan pertanian dengan banyak sungai dan tanah yang subur dan merupakan antara pengeluar utama gandum, sayur-sayuran dan sake di Jepun.

Menurut laman web Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), Wilayah Saitama mempunyai 27,000 kemudahan pembuatan dan menduduki tempat keenam di Jepun dari segi nilai penghantaran barangan perkilangan.

Terdapat juga syarikat yang mempunyai keupayaan teknologi termaju untuk tuangan, acuan dan peralatan.

Dalam sektor aeroangkasa dan automotif, Saitama menduduki tempat ketujuh di Jepun dari segi penghantaran dan pembuatan peralatan pengangkutan dengan nilai tambah.

Saitama menduduki tempat keenam di Jepun untuk industri perubatan, kesihatan dan kecantikan dari segi nilai pengeluaran farmaseutikal dan peranti perubatan.

Ono menekankan bahawa Saitama adalah wilayah utama negara apabila berkaitan nilai penghantaran produk mi seperti udon.

"Ia turut mempunyai banyak makanan istimewa tempatan seperti teh Sayama, antara teh dan strawberi terbaik Jepun yang dianugerahkan hadiah utama dalam pertandingan kebangsaan pada tahun ini," katanya.

Ono menyeru rakyat Malaysia untuk melawat dan menikmati semua yang ditawarkan oleh Saitama selain makanan.

"Kami mempunyai tarikan pelancong yang popular seperti taman tema Moomin dari Finland, yang pertama seumpamanya di luar negara; Tokorozawa Sakura Town, kompleks hiburan budaya pop terbesar di Jepun dan Bonsai Art Museum, dengan pokok-pokok yang berusia ratusan tahun," katanya.

Sementara itu, Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi, berkata populariti makanan Jepun telah melonjak di peringkat global dan dalam konteks Malaysia, eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun ke Malaysia telah meningkat tiga kali ganda sejak lima tahun lalu.

"Selain itu, jumlah restoran Jepun di Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan kira-kira 1,900 penubuhan di negara ini," katanya dalam ucapan perasmian pada pameran itu.

Walaupun rakyat Malaysia berbangsa Cina telah menjadi pengguna utama makanan Jepun setakat ini, Takahashi berkata ia mula digemari oleh orang Melayu juga.

Momotaro Foods Sdn Bhd, yang dimiliki oleh pengeluar mi tradisional Jepun terkemuka yang berpangkalan di Saitama, menyasarkan untuk mendapatkan pensijilan halal untuk kilang minya di Seri Kembangan, Selangor, dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kami telah membekalkan ke pasar raya dan restoran Jepun di Malaysia. Bahan untuk membuat mi di kilang di Malaysia adalah berbeza daripada kemudahan pengeluaran di Saitama, tetapi proses pengeluaran adalah sama untuk kedua-dua lokasi," kata Pengarah Urusannya, Ikuo Koyama kepada Bernama.

Momotaro Shokuhin Co Ltd, syarikat induk di Saitama, telah menubuhkan Momotaro Foods yang berpangkalan di Malaysia dan membuka restoran mi Jepun di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 1992.

-BERNAMA

Berita Harian X