Jumaat, 8 Disember 2023 | 3:56pm
Gambar fail. - AFP
Gambar fail. - AFP

Pasaran runcit suram, pendapatan peniaga terjejas - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pasaran runcit tempatan berdepan tempoh suram, dengan jangkaan pendapatan penyedia berkaitan terjejas ekoran sentimen pengguna yang menyederhana.

Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Tan Jia Hui, berkata pendapatan peserta runcit merosot sebanyak 3.0 hingga 19 peratus, meskipun terdapat peningkatan dalam jumlah kedai pada suku ketiga 2023.

"Kami percaya trend perbelanjaan pengguna terus merosot. Justeru, kami dalam mod berhati-hati terhadap pendapatan peserta makanan dan minuman (F&B) disebabkan permintaan lebih rendah, ditambah kos operasi tetapi yang lebih tinggi.

"Kami juga mendapati lebih banyak tawaran promosi sedang dijalankan untuk menarik minat semasa tempoh reda, yang boleh mengakibatkan tahap inventori yang tinggi," katanya dalam nota penyelidikan.

Jia Hui berkata, perbelanjaan runcit hadir dari asas yang tinggi dengan nilai jualan perdagangan runcit di Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun disokong kenaikan jualan runcit di kedai bukan khusus, serta jualan F&B dan tembakau di kedai khusus.

"Bagaimanapun, kadar pertumbuhan jualan runcit telah menurun daripada asas pertumbuhan dua angka yang tinggi pada 2022 kepada kadar pertumbuhan kecil dalam separuh kedua 2023.

"Ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan pelupusan pengguna yang lebih rendah, yang dipengaruhi oleh cabaran ekonomi," katanya

Beliau berkata, campuran harga komoditi, seperti harga koko dan gula, masih dalam aliran menaik iaitu 78 peratus tahun ke tahun bagi koko dan 33 peratus (gula) pada November 2023.

Harga kopi, jagung dan kacang soya telah merosot dari paras puncak 10 - 14 peratus sejak Jun 2023, manakala jagung merosot sebanyak 30 peratus dari paras kemuncak pada Januari 2023.

"Kami menjangkakan beberapa peserta F&B mendapat manfaat daripada aliran menurun dalam harga komoditi dan kehabisan inventori kos tinggi, yang boleh meningkatkan margin pada suku berikutnya," katanya.

Justeru, Jia Hui berkata, AmInvestment Bank menurun taraf sasaran kepada NEUTRAL daripada OVERWEIGHT susulan perbelanjaan yang berhati-hati, dipengaruhi ketidaktentuan makroekonomi.

"Wujud kecenderungan menurun apabila pengguna mencari harga yang kompetitif atau item tidak berjenama, dan pek bersaiz lebih kecil (pilihan nilai) untuk F&B.

"Risiko utama ialah pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan, kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada jangkaan, harga komoditi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan pemulihan ketibaan pelancong yang lebih perlahan daripada jangkaan," katanya.

Berita Harian X