Khamis, 7 Disember 2023 | 2:08pm
Gambar fail. Pelancong membuat pemeriksaan pasport di kaunter Imigresen ketika pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar fail. Pelancong membuat pemeriksaan pasport di kaunter Imigresen ketika pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Bebas visa pelawat China dijangka lonjak sektor pelancongan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan membenarkan kemasukan bebas visa berkuatkuasa 1 Disember lalu untuk pelawat dari China dijangka meningkatkan permintaan perjalanan bagi pelancong tempatan dan negara terbabit.

Penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng, berkata berdasarkan jangkaan positif aliran keluar masuk pelancong, data trafik Malaysiia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi tempoh Disember 2023 hingga suku pertama 2024 akan menjadi petunjuk penting.

"Kami percaya industri pelancongan Malaysia mengharapkan lawatan Presiden China, Xi Jinping, yang mungkin membawa lebih banyak berita gembira kepada industri pelancongan dan hospitaliti Malaysia.

"Ambil perhatian bahawa kerajaan telah menetapkan sasaran untuk menarik 5 juta pelancong China setiap tahun selepas rejim bebas visa. Ini adalah pendekatan agresif kerana hanya 3.1 juta pelancong melawat Malaysia pada 2019," katanya dalam nota penyelidikan.

Pada 26 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India mulai 1 Disember.

Ketika ini negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

Perdana Menteri berkata, pengecualian itu bagaimanapun, tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat memasuki Malaysia.

China turut memberikan kemudahan untuk Malaysia ke China tanpa visa selama 15 hari.

Sementara itu, MAHB merekodkan 6.8 juta pergerakan penumpang untuk operasi lapangan terbang kendaliannya di Malaysia pada Oktober, susut 1.5 peratus bulan ke bulan, namun menokok 25.5 peratus tahun ke tahun.

Angka yang stabil itu disokong pertumbuhan kukuh dalam trafik antarabangsa yang berada pada 3.5 peratus bulan ke bulan dan naik 60.8 peratus tahun ke tahun, manakala trafik domestik pula susut 6.0 peratus bulan ke bulan dan menokok 3.0 peratus tahun ke tahun, susulan kesan asas tinggi berikutan perayaan Deepavali.

Bagi tempoh 10 bulan 2023, pertumbuhan dalam pergerakan penumpang terkumpul di Malaysia menyederhana kepada 65.6 peratus daripada 71.8 peratus sebulan lalu kepada 67.4 juta penumpang.

"Ia menyumbang 74.9 peratus daripada ramalan tahun penuh kami iaitu 90 juta penumpang, yang kami anggap sebagai dalam jangkaan," tambah Kam Meng.

Menurut laporan MAHB, pertumbuhan berdaya tahan dalam pergerakan penumpang adalah seiring dengan peningkatan beransur-ansur dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan, yang melonjak 3.3 peratus bulan ke bulan.

Tambahan pula, faktor muatan purata meningkat 0.2 peratus dengan permintaan yang stabil dari Asia Timur Laut, Asia Selatan dan Asia Tenggara, di mana pergerakan penumpang meningkat 2.2 - 12.2 peratus bulan ke bulan.

Data juga menunjukkan pertumbuhan dalam volum domestik bulanan sederhana kepada 3.0 peratus kepada 3.4 juta disebabkan oleh kesan asas yang tinggi.

Ia mewakili 80 peratus daripada tahap sebelum pandemik 2019.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan akan perlahan kerana syarikat penerbangan memperuntukkan lebih banyak kapasiti ke destinasi antarabangsa untuk hasil yang lebih tinggi," katanya.

Bagi segmen antarabangsa, jumlah pergerakan penumpang meningkat kepada 3.4 juta pada Oktober.

Membandingkannya dengan tempoh sebelum pandemik, Kam Meng berkata, ia menunjukkan pemulihan kepada 79 peratus daripada tahap 2019 dengan pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh sektor bukan ASEAN.

Di Istanbul, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gocken (ISG) merekodkan pergerakan penumpang sebanyak 3.3 juta pada Oktober 2023, menguncup 2.1 peratus bulan ke bulan, tetapi menokok 14.3 peratus tahun ke tahun.

Ia disebabkan trafik antarabangsa yang lemah secara bermusim (-0.6 peratus bulan ke bulan) dan trafik domestik (-3.6 peratus tahun ke tahun) semasa musim sejuk.

Secara kumulatif, jumlah pergerakan penumpang 10 bulan di ISG meningkat 21.8 peratus kepada 31.4 juta.

Berita Harian X