Selasa, 5 Disember 2023 | 1:17pm
Kakitangan Yeo’s Malaysia bersama wakil-wakil daripada Bahagian Pengurusan Halal JAIS dan Hab Halal JAKIM
Kakitangan Yeo’s Malaysia bersama wakil-wakil daripada Bahagian Pengurusan Halal JAIS dan Hab Halal JAKIM

Yeo's manfaatkan Sijil Halal JAKIM tembusi pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR: Yeo's Malaysia (Yeo's) memanfaatkan persijilan halal JAKIM dengan menjadikan pusat pengeluaran di Malaysia sebagai pusat pembuatan dan pengedaran global ke Indonesia, New Zealand, Australia, Eropah, Indochina dan Amerika Syarikat.

Persijilan Halal Malaysia yang diraih memainkan peranan penting untuk syarikat F&B itu mengembangkan pasaran dan membina keyakinan pelanggan terhadap rangkaian produknya di Malaysia dan luar negara.

Pensijilan Halal Malaysia membabitkan tadbir urus yang terperinci. Semua jenama mesti mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Pengurus Kanan Pematuhan Halal Yeo's, Razana Mat Saad, syarikat mempunyai sistem yang komprehensif dan efektif yang mematuhi keperluan JAKIM sepenuhnya.

"Kami melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan Sistem Jaminan Halal (HAS) kami mematuhi sepenuhnya semua keperluan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020.

"Peraturan halal yang ketat ini dipatuhi di seluruh premis dan produk kami. Ini bermakna bahan mentah, bahan tambahan, bahan bantuan pemprosesan, perkakas dan peralatan kami, malah sistem pengeluaran, pemprosesan produk dan keseluruhan premis kilang kami, semuanya menepati standard ketat yang ditetapkan JAKIM," katanya dalam kenyataan.

Malah, Yeo's turut mempunyai pasukan khusus yang dilatih di bawah Majlis Profesional Halal JAKIM melalui inisiatif Badan Penyedia Halal Berdaftar dan tenaga Pengajar Halal Berdaftar untuk sentiasa memantau dan memastikan kemampanan sistem halalnya melalui pengauditan dan semakan dalaman secara berkala.

"Kami juga terbuka untuk memanjangkan kolaborasi bersama JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk menganjurkan program-program kesedaran halal untuk memperkasa dan memperkukuh pengetahuan pengguna berkaitan halal," jelas Razana.

Pada 2009, Yeo's menerima anugerah 'Jenama Halal Terbaik' untuk pengamalan proses halal yang cemerlang, inovatif, konsisten dan kejayaan keseluruhannya. Pada 2018, ia diberikan pengiktirafan yang cukup membanggakan menerusi 'Anugerah Jenama Halal Terbaik Dunia BrandLaureate' ('BrandLaureate World Halal Best Brands Award') bagi kategori Makanan & Minuman FMCG.

Ketiga-tiga kilang syarikat itu yang terletak di Shah Alam, Johor Bahru dan Ipoh juga diperakui dengan Proses Pengilangan Baik (GMP) yang mengawal semua kemungkinan kemudaratan dalam proses pembuatan makanan, merangkumi proses penapisan dan pensterilan yang ketat serta sistem pengisian tertutup.

Sejarah jenama Yeo's bermula pada 1901 sebagai perusahaan sos soya yang kecil di China. Sebagai seorang yang berwawasan, pemiliknya Yeo Keng Lian, mengorak langkah berani membawa perniagaannya ke Singapura pada 1935, dan kemudiannya dikembangkan ke Malaysia pada 1940-an.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik, berkata JAKIM adalah pihak berkuasa bertanggungjawab memberikan pengiktirafan halal kepada produk dan perkhidmatan yang dihasilkan industri yang memenuhi keperluan atau syarat yang digariskan dalam keperluan pensijilan halal dan Standard Malaysia yang berkuat kuasa.

Semua industri termasuk pembuatan makanan yang memohon pensijilan halal daripada JAKIM perlu mematuhi peraturan dan keperluan hukum syarak. Pensijilan halal ini penting untuk membina kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan keselamatan produk yang mereka makan.

Pengguna boleh menyemak dan mengesahkan status halal satu-satu produk melalui platform dalam talian yang disediakan JAKIM seperti Portal Rasmi Halal Malaysia atau Aplikasi Mobil seperti Verify Halal dan Smart Halal.

JAKIM katanya, menyambut baik komitmen, sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk sentiasa memastikan tahap pematuhan yang tinggi demi memastikan ekosistem pengawalseliaan halal sentiasa diyakini dan menjadi rujukan dunia.

Ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadi peneraju pasaran halal global menjelang 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion di samping memanfaatkan pasaran halal dunia yang dianggarkan melebihi AS$1 trilion (RM4.68 trilion) tahun hadapan.

Keadaan ini dijangka meningkatkan lagi kedudukan pensijilan halal Malaysia yang diterima di peringkat antarabangsa dan menggalakkan promosi perdagangan, seterusnya menjadikan negara kita sebagai peneraju pasaran halal global.

Berita Harian X