Ahad, 3 Disember 2023 | 11:05am
Gambar hiasan. Makanan Jepun. - NSTP/Shiraz Ali
Gambar hiasan. Makanan Jepun. - NSTP/Shiraz Ali

Syarikat produk makanan Nara Jepun sasar teroka pasaran Malaysia, ASEAN

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) wilayah Nara melihat Malaysia sebagai pasaran besar untuk produk makanan Nara di rantau Asean kerana pasarannya yang besar dengan pelbagai budaya.

Ketua Pengarah JETRO Nara, Mikiko Kigawa berkata ia akan menerokai Malaysia terlebih dahulu sebelum memasuki negara Asean yang lain.

"Kami melihat potensi permintaan yang kukuh untuk produk Nara dengan asas berbilang kaum dan budaya," katanya pada Pameran Makanan Nara yang pertama kali diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini dari 17 hingga 26 November. Pameran itu juga berlangsung di Pulau Pinang dari 20 November hingga 2 Disember.

Ia menampilkan pelbagai produk makanan dan minuman daripada tiga syarikat dari daerah Nara.

Kigawa menjelaskan bahawa ibu kota pertama Jepun terletak di Nara dan ia adalah tempat kelahiran budaya Jepun. Sake dan banyak lagi masakan tempatan berasal dari daerah ini.

"Kami berharap dapat melibatkan lebih banyak syarikat makanan dan minuman dalam pameran makanan yang akan datang," kata Kigawa.

Hidetoshi Takigawa, Pengurus Besar Jabatan Jualan di Yamato Honey Co Ltd, syarikat pengeluar kopi, matcha dan minuman ringan yang berpangkalan di Nara berkata Nara menawarkan banyak produk pertanian dan perladangan. Kebanyakannya adalah barangan khusus dan semula jadi daripada syarikat yang lebih kecil.

"Syarikat ini berhasrat untuk meneroka ke luar negara," katanya.

Yamato Honey mengedarkan kopi pekat, bahagian matcha dan barangan minuman lain di beberapa kedai runcit di Malaysia sejak tahun ini dan syarikat itu menyasar mendapatkan pensijilan halal di Malaysia dua tahun dari sekarang, kata Takigawa.

Sementara itu, Pengarah Jualan Nishiki Soysauce Co. Ltd. Sakae Ohgata berkata syarikat pengeluar kicap itu telah memperkenalkan rangkaian sos yang dibuat daripada resipi vintaj daripada pengasas keluarga Ohgata.

"Rangkaian kicap kami juga termasuk barangan mesra Muslim yang diperoleh daripada bahan organik," kata Ohgata.

Syarikat itu berpangkalan di Ikaruga, Nara, sebuah bandar bersejarah dengan banyak kuil termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO Kuil Horyuji. – Bernama

Berita Harian X