Jumaat, 24 November 2023 | 12:58pm
Kumpulan makanan dan minuman merekodkan peningkatan sederhana harga 3.6 peratus pada Oktober 2023 - Gambar fail NSTP
Kumpulan makanan dan minuman merekodkan peningkatan sederhana harga 3.6 peratus pada Oktober 2023 - Gambar fail NSTP

Kadar inflasi Malaysia di tahap terendah sejak April 2021

PUTRAJAYA: Kadar kenaikan inflasi di Malaysia terus reda kepada 1.8 peratus pada Oktober 2023, paras terendah sejak April 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan amat terkawal kadar inflasi pada bulan lalu didorong kenaikan lebih rendah bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, iaitu 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada September 2023.

Beliau berkata, ia kemudian diikuti peningkatan perlahan kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.4 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus).

Sementara itu, katanya, antara kumpulan utama lain yang menyumbang kepada peningkatan lebih rendah berbanding September 2023 adalah kumpulan minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus) dan pakaian dan kasut.

"Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.6 peratus.

"Komponen makanan di rumah meningkat 2.1 peratus berbanding 2.5 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DOSM berkata, kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain, diikuti oleh subkumpulan susu, keju dan telur dan daging yang masing-masing 3.1 peratus dan 2.1 peratus.

Sementara itu, komponen makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 5.6 peratus berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada September 2023.

Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah burger, ayam goreng dan murtabak.

Subkumpulan daging yang merangkumi ayam, lembu, babi, kambing, kerbau dan itik mereda kepada 2.1 peratus pada bulan lalu.

Ayam yang menjadi komponen terbesar merangkumi 46.1 peratus dalam subkumpulan daging mencatatkan penurunan negatif 0.7 peratus berbanding 0.9 peratus pada bulan September 2023.

Purata harga ayam standard di Malaysia menurun kepada RM10.02 sekilogram berbanding RM10.07 sekilogram pada bulan Oktober 2022.

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengumumkan pengapungan harga ayam bermula 1 November lalu bagi mengelakkan ketirisan subsidi yang telah dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi selain untuk menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.

Walau bagaimanapun, kerajaan masih meneruskan subsidi bagi telur gred A, B dan C.

Inflasi pengangkutan pula tidak mencatatkan sebarang peningkatan pada Oktober 2023 berikutan harga petrol RON97 yang ditetapkan pada Oktober 2023 adalah lebih rendah iaitu RM3.47 seliter berbanding RM3.96 seliter pada Oktober 2022.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.8 peratus meskipun empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), Sarawak (2.5 peratus), Perak (2.2 peratus) dan Selangor (1.9 peratus).

Bagi perbandingan dengan negara terpilih, inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.9 peratus), Korea (3.8 peratus), Vietnam (3.6 peratus) dan Indonesia (2.6 peratus).

Namun, kadar berkenaan lebih tinggi berbanding China (-0.2 peratus) dan Thailand (-0.3 peratus).

Berita Harian X