Khamis, 23 November 2023 | 1:11pm
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) -NSTP/Ahmad Ukasyah
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) -NSTP/Ahmad Ukasyah

Pengasingan aset jadikan dividen syariah KWSP setara konvensional

PUTRAJAYA: Pengasingan sepenuhnya aset Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan dilaksanakan 1 Januari 2024 dijangka dapat menjadikan dividen yang diterima pencarum Simpanan Shariah lebih setara dengan Simpanan Konvensional.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata setakat ini, perbezaan masih ketara antara dividen tahunan kedua-dua skim itu.

Justeru, beliau berkata, pihak pengurusan tertinggi KWSP telah mengambil keputusan untuk memisahkan skim simpanan berkenaan bagi membolehkan ia mempunyai kebebasan sepenuhnya dari segi pelaburan.

Katanya, di Dewan Rakyat kerap kali ada pertanyaan mengapakah dividen daripada konvensional sentiasa mendapat pulangan lebih berbanding pelaburan syariah.

Sebagai contoh, jelasnya, pada 2022 dividen Simpanan Konvensional adalah 5.35 peratus dan dividen Simpanan Shariah adalah 4.75 peratus dan perkara itu telah berlaku beberapa tahun, malah dividen Simpanan Shariah tidak pernah mengatasi Simpanan Konvensional.

"Jadi, mulai 1 Januari 2024 akan ada pengasingan sepenuhnya antara pelaburan syariah dan pelaburan konvensional.

"Pengasingan memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelaburan syariah, maka ada kemungkinan pada tahun-tahun hadapan, (dividen) jika tidak melebihi dividen pelaburan konvensional, paling kurang akan setara dengan pelaburan konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Integriti KWSP bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi-Agensi 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk

Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datin Rashidah Mohd Sies.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pada masa ini, kira-kira 40 peratus daripada RM1.1 trilion aset di bawah pengurusan KWSP adalah aset Syariah.

Beliau menjelaskan, dengan pengasingan sepenuhnya akan ada peluang untuk membezakan simpanan dan pelaburan yang akan dilaksanakan kelak.

"Skim Simpanan Shariah bebas memilih di mana ia menyimpan dan di mana ia boleh meninggikan pulangan. Jadi, kita boleh kurangkan jurang yang ada antara skim konvensional dan syariah.

"Namun, pulangan yang kita dapat semestinya bergantung kepada prestasi aset yang kita ada. Usaha kita...kita asingkan dulu dan kita tengok macam mana kita boleh kurangkan jurang," katanya.

KWSP menganjurkan Majlis Hari Integriti Bersama Kementerian Kewangan dan Agensi-Agensi 2023 dengan objektif utama untuk meningkatkan kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Kewangan serta menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan amalan dan budaya berintegriti dalam kalangan semua kakitangan dan penjawat awam keseluruhannya.

Majlis bertemakan 'Integriti Manifestasi Malaysia MADANI' dihadiri lebih 800 ahli dan kakitangan daripada organisasi yang mengambil bahagian, semuanya menunjukkan solidariti dalam memerangi rasuah, selaras dengan saranan kerajaan seperti yang termaktub dalam Pelan Integriti dan Pencegahan Rasuah (NACP) negara.

Berita Harian X