KUALA LUMPUR: Rundingan berkaitan 5G mencatatkan kemajuan walaupun mungkin akan mengambil beberapa bulan lagi untuk mencapai penyelesaian yang kukuh, demikian kata CGS-CIMB.
Ia kekal berpendapat bahawa Celcom dan Maxis akan menjadi pemacu utama rangkaian, dengan Celcom berkemungkinan besar mengendalikan rangkaian pertama (Entiti A), yang kini adalah rangkaian Digital Nasional Bhd (DNB).
Katanya, berdasarkan perbincangan pihaknya bersama peserta industri mencadangkan kemajuan dicapai dalam rundingan 5G, namun penyelesaiannya masih dalam beberapa bulan lagi.
Jelasnya, menurut pemain industri yang ditemui, semua pihak yang ingin mengambil pegangan ekuiti dalam rangkaian 5G perlu mula mengambil bahagian dalam Entiti A.
"Sebaik saja entiti A mencapai 80 peratus liputan penduduk (kini kira-kira 69 peratus), mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam rangkaian kedua (Entiti B) akan menjual pegangan mereka kepada mereka yang tinggal dalam Entiti A.
"Peserta dalam Entiti B akan menyewa kapasiti daripada Entiti A sehingga satu tahap yang mana rangkaian Entiti B mencapai matlamat liputannya, yang kebanyakan pemain jangkakan mengambil masa dua tahun," katanya dalam nota penyelidikannya.
Mengenai integrasi rangkaian CelcomDigi, CGS-CIMB berkata, berdasarkan semakan di laman syarikat telekomunikasi itu secara dalam talian mendapati integrasi rangkaian dan sistem CelcomDigi nampaknya semakin maju dengan isu yang minimum dan tiada bukti gangguan besar.
Ia berkata, seperti pendedahan syarikat pada pertengahan Ogos, integrasi untuk kira-kira 40 peratus daripada 5,000 tapak yang disasarkan untuk 2023 telah siap.
Secara keseluruhannya, proses integrasi akan melihat gabungan 25,000 tapak daripada dua rangkaian, diperkemas kepada kira-kira 18,000 tapak, dengan kapasiti rangkaian dan liputan meningkat pasca integrasi, menurut syarikat itu.
"Kami juga ambil perhatian bahawa laman web Celcom telah menggabungkan beberapa sistem yang sebelum ini hanya tersedia di DiGi, membenarkan pelanggan memilih nombor pilihan mereka apabila membeli SIM baharu.
"Ia satu tanda positif proses integrasi bahagian belakang. Pada pandangan kami, penggabungan itu menyatukan liputan rangkaian Celcom dan sistem bahagian belakang maju DiGi untuk memberi pelanggan pengalaman keseluruhan yang lebih baik," katanya.