KUALA LUMPUR: Harga barangan pengguna berpotensi untuk meningkat berdasarkan kepada lonjakan semasa kos menjalankan perniagaan, jika syarikat tidak dapat menyerap kenaikan.
Tinjauan Persekitaran Perniagaan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan kos menjalankan perniagaan naik 20 peratus pada enam bulan pertama 2023.
Lonjakan itu adalah disebabkan komponen utama dalam menjalankan perniagaan juga turut naik sehingga 20 peratus iaitu buruh, penyelenggaraan jentera dan bahan mentah.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata komponen lain dalam menjalankan perniagaan juga turut naik membabitkan tenaga, logistik dan air.
Beliau berkata, kos menjalankan perniagaan itu juga dijangka akan terus meningkat bulan ke bulan pada tahun ini.
"Sebagai perbandingan, bagi Jun sahaja, kebanyakan komponen naik sekitar lima peratus. Ketika ini kami melihat kos menjalankan perniagaan akan terus meningkat.
"Apabila kos menjalankan meningkat, ia akan memberi tekanan kepada kewangan perniagaan dan ia akan disalurkan semula kepada produk akhir (harga jualan) jika perniagaan tidak mampu menampungnya," katanya ketika taklimat media Tinjauan Persekitaran Perniagaan FMM di sini hari ini.
Tinjauan FMM itu menunjukkan, sehingga Jun 2023, kebanyakan kos yang ditanggung oleh perniagaan meningkat sehingga 20 peratus, dengan buruh, penyelenggaraan mesin dan bahan mentah terdiri daripada tiga kenaikan kos teratas.
Pecahan menunjukkan bahawa kos buruh telah meningkat sehingga 10 peratus untuk 52 peratus daripada responden, manakala 23 peratus melaporkan lonjakan 11 hingga 20 peratus.
42 peratus dan 41 peratus daripada responden juga melaporkan berdepan dengan kos air dan tenaga yang lebih tinggi sehingga 10 peratus.
Thian Lai berkata, faktor utama kenaikan kos menjalankan perniagaan adalah disebabkan kelemahan ringgit yang berlaku pada tahun ini.
Beliau berkata, ini kerana kebanyakan bahan mentah dan produk adalah diimport daripada negara luar terutamanya dalam dolar Amerika Syarikat (AS).
Justeru itu, apabila ringgit lemah, ia telah memberikan ruang yang besar dalam pertukaran mata wang asing kepada perniagaan tempatan.
"Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu aktif dalam mencari penyelesaian kelemahan ringgit ini dengan kadar segera.
"Ini kerana transaksi perniagaan kebanyakannya adalah dalam dolar AS. Dengan situasi ringgit yang lemah, sudah tentu akan memberi pelbagai impak besar kerana tidak boleh menampung kenaikan kos.
"Jika ringgit berada pada RM4.6 atau RM4.7 berbanding dolar AS, saya pasti kebanyakan perniagaan tempatan akan sengsara," katanya.
Thian Lai berkata, disebabkan kelembapan ringgit berbanding dolar AS itu juga menyebabkan majoriti responden Tinjauan Persekitaran Perniagaan FMM meninjau untuk menggunakan mata wang lain dalam urusan perniagaan import dan eksport mereka.
Beliau berkata, antara pilihan mata wang lain yang ingin dan sudah digunakan perniagaan adalah renminbi China, yen Jepun dan euro.
"Dua faktor utama yang menjadikan tiga mata wang ini sebagai alternatif kepada dolar AS adalah disebabkan permintaan pembeli luar untuk eksport.
"Malah penjual luar juga lebih selesa dan menerima transaksi jualan untuk import daripada tiga mata wang ini.
"Kebanyakannya selesa untuk berurusniaga dalam renmimbi China," katanya.