KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menganggap unjuran untuk meningkatkan gaji penengah pekerja sektor pembuatan kepada RM4,510 menjelang 2030 boleh dicapai dengan kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata persekutuan itu melihat sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan itu agak singkat dan sesuatu yang sukar untuk dipenuhi oleh pihak industri.
"Namun, di pihak sektor swasta, kami ingin bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan lagi gaji tenaga kerja kerana industri ketika ini berasaskan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan mahu supaya semua tenaga kerja adalah berasaskan kemahiran.
"Justeru, kami percaya sasaran itu, walaupun dalam tempoh yang singkat, namun mungkin boleh dicapai dengan kerjasama kedua-dua pihak iaitu di antara kerajaan dan swasta," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Anwar dalam ucapannya berkata, gaji penengah bagi pekerja sektor pembuatan diunjur meningkat 128 peratus kepada RM4,510 pada 2030 berbanding RM1,976 pada 2021 hasil intervensi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Katanya, peningkatan itu akan didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan.
Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, pendekatan berasaskan misi yang ditampilkan dalam NIMP 2030 adalah satu-satunya langkah ke hadapan untuk memastikan semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kekal kompetitif.
Beliau berkata, hal ini kerana PKS tempatan pada masa ini masih tidak mengadaptasi dengan teknologi terkini dalam operasi mereka.
"Jadi, dengan kerajaan menggunapakai pendekatan berasaskan misi ini ditambah dengan bantuan dana untuk menyokong PKS ini, kita harapkan ia dapat menjadikan mereka sebagai syarikat berorientasikan eksport," katanya.