KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk sepanjang tahun ini dan 2024, di tengah-tengah prestasi ekonomi yang lebih perlahan pada 2023.
Ahli Ekonomi Kanan OCBC Bank untuk ASEAN, Lavanya Venkateswaran, berkata bank itu tidak melihat prestasi ekonomi Malaysia pada suku kedua 2023 yang rendah daripada jangkaan akan membawa kepada perubahan dalam pendirian dasar monetari BNM.
Beliau berkata, profil pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan sentiasa menjadi perhatian memandangkan faktor luaran yang lemah.
"Walaupun tahap kelembapan pada suku kedua mungkin mengejutkan, kami menjangkakan BNM akan kekal fokus untuk membendung tekanan inflasi dan menguruskan ketidakseimbangan kewangan," katanya dalam satu laporan penyelidikan ekonomi.
Beliau berkata, OCBC Bank mengunjurkan pertumbuhan suku kedua Malaysia pada 4.9 peratus dengan jangkaan konsensus pada 3.3 peratus berbanding pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama.
"Sektor awam dengan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang lebih tinggi, memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan pada suku kedua.
"Khususnya, sumbangan sektor awam kepada pertumbuhan meningkat kepada 0.7 peratus pada suku kedua daripada negatif 0.1 peratus dalam suku pertama.
"Sebaliknya, sumbangan sektor swasta susut kepada 3.4 peratus pada suku kedua daripada 4.4 peratus pada suku pertama apabila perbelanjaan penggunaan swasta berkurangan kepada 4.3 peratus tahun ke tahun daripada 5.9 peratus sebelum ini," katanya.
Lavanya berkata, kemerosotan dalam pertumbuhan eksport juga meningkat kepada negatif 9.4 peratus tahun ke tahun daripada negatif 3.3 peratus pada suku pertama, manakala pertumbuhan import melemah kepada negatif 9.7 peratus tahun ke tahun daripada negatif 6.5 peratus sebelumnya.
Akibatnya, beliau berkata sumbangan eksport bersih bertukar negatif (-0.1 peratus) pada suku kedua daripada 2.1 peratus pada suku pertama.
Katanya, kelemahan adalah lebih jelas dari segi penawaran dengan pertumbuhan dalam semua sektor utama menjadi perlahan pada suku kedua daripada suku pertama, termasuk sektor pertanian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
"OCBC Bank kini melihat pertumbuhan tahun penuh 2023 dalam julat jangkaan BNM sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus mencerminkan hasil separuh pertama yang tidak begitu tinggi iaitu sebanyak 4.2 peratus.
"Sehubungan itu, kami menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 untuk Malaysia kepada 4.0 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini dan mengekalkan jangkaan pertumbuhan separuh kedua pada 3.7 peratus.
"Untuk tahun 2024, kami menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini kerana pertumbuhan global yang perlahan dijangka berterusan.
"Ia bagaimanapun menggariskan peningkatan dalam momentum pertumbuhan berbanding 2023," katanya.