Isnin, 31 Julai 2023 | 6:33pm

Pertumbuhan pinjaman terus kukuh pada Jun - BNM

KUALA LUMPUR: Malaysia menyaksikan pertumbuhan kredit yang mampan pada Jun 2023 meskipun pertumbuhan pinjaman perniagaan lebih perlahan pada tempoh itu, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan secara umumnya mampan pada 3.9 peratus berbanding 4.0 peratus pada Mei, 2023 walaupun pertumbuhan kredit kepada perniagaan lebih perlahan pada 2.6 peratus berbanding 2.8 pada bulan sebelumnya.

"Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menyederhana kepada 1.0 peratus daripada 1.6 peratus pada Mei 2023, berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih perlahan dalam kalangan syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya dalam Sorotan Bulanan Jun 2023, hari ini.

BNM berkata pertumbuhan bon korporat terkumpul bagaimanapun meningkat sedikit kepada 4.9 peratus (Mei 2023: 4.6 peratus).

Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul tidak berubah pada 5.1 peratus dengan pertumbuhan mampan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

"Namun begitu, permohonan pinjaman mencatat pertumbuhan lebih perlahan khususnya untuk pembelian rumah dan kegunaan peribadi yang sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas tinggi berikutan peningkatan kukuh pada Jun 2022," katanya.

Selain itu, bank-bank Malaysia mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan.

Bank-bank berkenaan terus mencatat penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai pada 155.3 peratus pada Jun berbanding 151.0 peratus pada Mei 2023, kata BNM.

Agregat nisbah pinjaman kepada dana pula secara umum kekal stabil pada 81.6 peratus berbanding 81.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Menyentuh aspek kualiti aset sistem perbankan, BNM berkata ini kekal dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara umum kekal tidak berubah masing-masing pada 1.75 peratus pada Jun 2023 (Mei 2023: 1.80 peratus) dan 1.09 peratus (Mei 2023: 1.10 peratus).

"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab pengawalseliaan terus berada pada paras berhemat iaitu 116.2 peratus daripada pinjaman terjejas dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.6 peratus daripada jumlah pinjaman," katanya.

Pada masa sama, BNM berkata, pasaran kewangan pasaran kewangan domestik terus didorong terutamanya oleh faktor luaran ketika sentimen kewangan global terjejas akibat kebimbangan berkaitan dengan prospek pertumbuhan global berikutan pemulihan ekonomi di China yang lebih lemah daripada jangkaan.

Malah, kebimbangan itu terus ketara akibat kegiatan ekonomi yang lebih perlahan di Eropah serta perolehan korporat yang lemah.

Bagi prestasi ringgit, bank pusat itu berkata nilai unit tempatan itu turun sebanyak 1.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dan purata serantau -0.1 peratus manakala FTSE Bursa Malaysia KLCI susut sebanyak 0.8 peratus berbanding purata serantau -0.1 peratus pada Jun lepas.

Dalam pada itu, selaras dengan kadar hasil bon global, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 15 mata asas, berikutan terdapatnya tanda-tanda pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan AS yang lebih ketat di masa depan.

Mengulas inflasi keseluruhan, BNM berkata aspek itu terus menurun kepada 2.4 peratus pada Jun (Mei 2023: 2.8 peratus) yang sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi lebih rendah bagi komponen Indeks Harga Pengguna (IHP) teras (-0.3 mata peratusan) dan bahan api (-0.1 mata peratusan).

"Inflasi teras yang menyederhana kepada 3.1 peratus pada Jun 2023 daripada 3.5 peratus pada bulan sebelumnya adalah disebabkan terutamanya oleh inflasi lebih rendah bagi beberapa perkhidmatan mengikut budi bicara, terutamanya makanan di luar rumah," katanya.

Selain itu, eksport menguncup sebanyak 14.1 peratus pada Jun 2023 (Mei 2023: -0.9 peratus) yang mencerminkan kelemahan permintaan luaran, penurunan harga komoditi dan kesan asas yang tinggi daripada tahun 2022.

BNM berkata pertumbuhan eksport perkilangan pula terjejas akibat produk petroleum dan produk berasaskan minyak sawit manakala eksport komoditi turun berikutan penghantaran minyak sawit, gas asli cecair dan petroleum mentah yang lebih rendah.

– Bernama

Berita Harian X