Selasa, 18 Julai 2023 | 1:50pm
PRN dijadual pada 12 Ogos ini tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan kestabilan Kerajaan Persekutuan -NSTP/Azhar Ramli
PRN dijadual pada 12 Ogos ini tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan kestabilan Kerajaan Persekutuan -NSTP/Azhar Ramli

Kerajaan Perpaduan perlu fokus pembaharuan ekonomi pasca PRN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet pimpinannya harus menumpukan kepada penggubalan dasar dan pembaharuan ekonomi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), demikian menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata keputusan PRN membabitkan enam negeri yang dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos ini dijangka mencerminkan keputusan kerusi Parlimen yang ditandingi di negeri-negeri berkenaan pada November lalu, malah tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan kestabilan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata, bank pelaburan itu menjangkakan keputusan akan mencerminkan keputusan kerusi Parlimen yang ditandingi di negeri-negeri berkenaan pada November 2022.

"Paling penting ialah selepas berakhirnya PRN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet harus menumpukan kepada penggubalan dasar dan pembaharuan memandangkan masih ada lebih empat tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Peristiwa dasar utama pada separuh kedua 2023 termasuk kajian semula pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijangka pada September 2023 dan pembentangan Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2024 pada 13 Oktober 2023 serta Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan," katanya menerusi laporan tinjauan separuh kedua 2023 Maybank IB bagi Malaysia.

Mengenai tinjauan ekonomi Malaysia bagi 2023, Suhaimi berkata, pertumbuhan tahun ini akan terkesan oleh ketidaktentuan kemelesetan global, yang menjejaskan prestasi perdagangan luaran selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun lalu.

Namun, beliau berkata kelemahan luaran itu akan diimbangi oleh perbelanjaan pengguna yang dijangka kukuh susulan pengeluaran lebihan simpanan dibina ketika pandemik dan momentum meningkat dalam pemulihan pelancongan, sekali gus menyediakan sedikit penampan kepada perbelanjaan pengguna.

Katanya, Maybank IB mengekalkan unjuran pertumbuhan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar sebanyak 4.5 peratus, menyederhana berbanding 8.7 peratus yang dicatatkan tahun lalu dipacu pembukaan penuh ekonomi.

"Ia dicerminkan oleh kesan asas tinggi pada KDNK suku pertama dan suku ketiga 2023 berikutan lonjakan pertumbuhan pada suku kedua dan suku ketiga 2022.

"Ia juga ditambah kesan lewat kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kumulatif 125 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antara Mei 2022 dan Mei 2023 terhadap permintaan domestik terutamanya perbelanjaan pengguna, serta ketidaktentuan daripada kemelesetan ekonomi global yang menjejaskan pertumbuhan perdagangan luaran selepas mencatatkan kadar dua angka pada 2021 dan 2022.

Suhaimi berkata, terdapat juga arah aliran positif dalam pelaburan yang diluluskan dengan penunjuk utama pelaburan sektor swasta benar/direalisasikan sejak 2021, terutamanya dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan teknologi.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan peningkatan daripada risiko geopolitik Amerika Syarikat (AS) dan China iaitu 'nyah risiko' melalui strategi 'China+', justeru lencongan perdagangan dan FDI serta penempatan semula memberi manfaat kepada Malaysia dan rakan ASEAN.

"Di samping itu, kami menjangkakan OPR akan kekal pada paras semasa 'sedikit akomodatif' sebanyak 3.00 peratus untuk sepanjang tahun ini berdasarkan kesimpulan penting daripada Penyataan Dasar Monetari (MPS) terkini BNM iaitu perlahan dengan risiko penurunan dalam ekonomi global; permintaan dalaman yang berdaya tahan memacu ekonomi domestik; aliran menurun dalam inflasi dan pengurangan risiko ketidakseimbangan kewangan iaitu kestabilan ringgit walaupun pada paras lemah," katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya akan terus berwaspada terhadap inflasi secara umumnya, dengan Malaysia khususnya mempunyai risiko paling tinggi dalam kalangan ekonomi ASEAN-6 disebabkan ketidakpastian mengenai subsidi dan cukai berkaitan penggunaan.

Beliau berkata, perkara itu adalah di samping tekanan kos tambahan berikutan pelaksanaan penuh gaji minimum berkuat kuasa 1 Julai 2023 serta kelemahan ringgit.

Berita Harian X