KUALA LUMPUR: Penganalisis berpandangan berbeza mengenai unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) menjelang pernyataan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan dikeluarkan Khamis ini.
Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) menjangkakan OPR akan dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang keempat bagi 2023 esok dan Khamis.
Jangkaan itu dibuat berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk bahawa ia akan meneruskan langkah mengetatkan monetarinya.
Ketua Penyelidik Ekuiti Malaysia dan Serantau Maybank IBG, Anand Pathmakanthan, berkata setelah meningkatkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 500 mata asas dalam tempoh lebih 12 bulan, Pengerusi Fed AS, Jerome Powell memberi bayangan pada forum dasar monetari minggu lalu bahawa lebih banyak kenaikan kadar akan datang.
Beliau berkata, FFR di AS dijangka mencecah 5.625 peratus menjelang akhir tahun ini, dengan jangkaan dua lagi pusingan kenaikan sebanyak 25 mata asas.
"Dengan semakan semula tinjauan FFR serta kelemahan ringgit yang membimbangkan, sehingga mendorong BNM minggu lalu untuk menyatakan secara terbuka ia akan campur tangan dalam pasaran tukaran asing (FX) untuk 'menstabilkan' mata wang tempatan, kami menjangkakan lagi kenaikan 25 mata asas OPR kepada 3.25 peratus, berpotensi paling cepat minggu ini (mesyuarat MPC)," katanya dalam nota penyelidikannya.
Broker antarabangsa, OctaFX turut menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada mesyuarat monetari dua hari minggu ini bagi menyokong pasaran modal dan menstabilkan kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS.
Ia berkata, walaupun MPC menyedari bahawa inflasi teras berada dalam trend penurunan sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan pengaruh sederhana faktor kos, namun ia menjangkakan inflasi teras akan kekal tinggi disebabkan oleh permintaan berterusan.
"Justeru, pernyataan dasar terakhir jawatankuasa itu menjelaskan keperluan supaya normalisasi monetari selanjutnya, dengan memetik pertumbuhan domestik yang kukuh sebagai faktor utama," katanya,
Sementara itu, RHB Research pula menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dengan panduan neutral pada mesyuarat MPC pada 6 Julai.
Cabang penyelidikan RHB Banking Group itu sebelum ini mengunjurkan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas.
Dalam nota penyelidikannya, RHB Research menjelaskan, pemangkin bagi perubahan unjuran itu adalah berikutan risiko inflasi yang terhad, langkah campur tangan BNM dalam pasaran FX serta pendiriannya terhadap ekonomi global.
MIDF Research juga menjangkakan OPR akan kekal 3.00 peratus selepas BNM menaikkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit tempatan ke paras pra-pandemik pada Mei lalu.
Pada 3 Mei lalu, MPC BNM mengumumkan OPR dinaikkan sebanyak 25 mata kepada 3.00 peratus, kenaikan pertama bagi 2023 selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.