Isnin, 3 Julai 2023 | 9:38am
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican - Foto BERNAMA
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican - Foto BERNAMA

MyCIF bantu PMKS raih dana kembang perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan pelaburan bersama pada 2019 melakar kejayaan tersendiri dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam meraih dana bagi mengembangkan perniagaan.

Antara syarikat yang berjaya meraih dana termasuk The Lorry Online Sdn Bhd yang menjana RM3.8 juta bagi membiayai pengembangan perniagaan ke Indonesia; Fefifo Malaysia Sdn Bhd menjana RM3.1 juta; dan Green Lagoon Technology Sdn Bhd menjana RM7.7 juta.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata kerajaan komited menyokong syarikat permulaan tempatan yang mempunyai nilai tambah tinggi mendapat akses kepada pembiayaan, dari peringkat awal sehingga penyenaraian di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, salah satu inisiatif itu ialah menerusi MyCIF, dana pertama di rantau ini yang mengguna pakai model pelaburan bersama awam-swasta untuk platform kewangan alternatif.

Ahli Jawatankuasa Pemandu MyCIF itu menjelaskan, pada tahun ini, RM40 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2023 bagi MyCIF sebagai dana padanan untuk menyokong kaedah pembiayaan alternatif, menjadikan dana terkumpul yang tersedia di bawah MyCIF berjumlah RM300 juta.

Katanya, ia adalah tambahan kepada langkah Belanjawan 2023 yang lain untuk mengembangkan peluang pembiayaan modal bagi syarikat permulaan yang sangat inovatif.

"Contohnya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan memperuntukkan RM1.5 bilion tahun ini untuk melabur dalam syarikat permulaan tempatan," katanya kepada BH.

PMKS mendapat manfaat besar daripada penubuhan dana pelaburan bersama awam dan swasta itu, yang menjadi platform pembiayaan alternatif kepada mereka terutama syarikat pemula atau masih pada peringkat permulaan operasi mendapatkan pembiayaan.

Lazimnya, syarikat pemula atau syarikat yang masih pada peringkat awal operasi berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan bank untuk mengembangkan perniagaan memandangkan mereka tidak mempunyai rekod perniagaan yang utuh.

Mengulas lanjut, Johan berkata, pihaknya yakin inisiatif seperti MyCIF akan mengukuhkan ekosistem syarikat permulaan tempatan dan meningkatkan daya saing serantau dan antarabangsa mereka.

Katanya, seperti yang dilihat pada kemuncak pandemik pada 2020, MyCIF melaksanakan nisbah pelaburan yang lebih tinggi untuk menangani jurang pembiayaan.

"Ia memangkinkan pertumbuhan lebih 209 peratus dalam jumlah yang diperoleh antara 2019 dan 2021 daripada RM441.56 juta kepada RM1.37 bilion dan pertumbuhan 45 peratus dalam bilangan penerbit pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) dalam tempoh yang sama," katanya.

Sejak penubuhan MyCIF, pelabur swasta melabur sejumlah RM3.8 bilion dalam kira-kira 55,000 kempen pembiayaan ECF dan P2P bersama MyCIF.

Pada 2022, majoriti pelabur swasta dalam ruang pembiayaan alternatif adalah pelabur tempatan, yang menyumbang 98 peratus daripada jumlah pelaburan, sementara bukan tempatan menyumbang baki dua peratus.

Pelabur swasta itu merangkumi pelabur institusi (52 peratus), runcit (27 peratus), lain-lain (21 peratus).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MyCIF, Wong Huei Ching, berkata penubuhan MyCIF adalah tepat pada masanya memandangkan pandemik melanda dan banyak PMKS terkesan.

Beliau berkata, pembiayaan alternatif menerusi MyCIF membantu PMKS terkesan mendapatkan dana bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu juga berkata, bagi 2023, MyCIF akan menggalakkan lebih banyak inovasi dalam bidang yang telah dikenal pasti sebagai bidang strategik kepada ekonomi negara.

Katanya, ia akan dilakukan dengan meneruskan inisiatif sedia ada untuk perniagaan berkaitan pertanian, serta memperluaskan nisbah pelaburan bersama khas 1:2 yang sama kepada sektor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Jelasnya, ia juga selaras dengan agenda pembangunan mampan negara, yang bertujuan untuk menyokong peralihan sektor pertanian kepada sektor yang dinamik dan progresif, dan inovasi dalam sektor ESG dan kemampanan.

Berita Harian X