Selasa, 27 Jun 2023 | 7:25pm
Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin -NSTP/Hairul Anuar Rahim

SC perkenal fintech Fikra Ace

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Fikra Ace, inisiatif teknologi kewangan (fintech) yang mampu meningkatkan ekosistem pasaran modal Islam (ICM) dengan memudahkan pembangunan fintech Islam melalui pendekatan berstruktur.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata, Fikra Ace adalah inisiatif tiga tahun yang dipertingkatkan susulan pelancaran program pemecut fintech Islam sulung SC, Fikra pada Mei 2021.

Katanya, bermula daripada pendekatan pemecut tunggal, Fikra Ace merangkumi tiga komponen yang mengandungi pemecut, program pemecut berfokuskan penyelesaian Islam; Circle, platform rangkaian bagi menghubungkan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam pasaran modal Islam dan industri fintech serta Excel, platform untuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi pembinaan kapasiti.

Inisiatif itu akan mengenal pasti syarikat yang mempunyai penyelesaian fintech untuk memupuk, mengembangkan dan berhubung dengan ekosistem ICM dalam pelbagai segmen selain bertujuan menyokong ruang fintech Islam dengan membina kapasiti dan saluran bakat kepada industri.

Untuk kohort 2023 yang dijangka bermula menjelang Ogos ini, tiga bidang tumpuan Fikra Ace ialah kewangan sosial Islam, pelaburan mampan dan bertanggungjawab patuh Syariah (SRI) serta pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk memantapkan ekosistem fintech Islam yang berkembang maju dengan memanfaatkan kepimpinan globalnya dalam pasaran modal Islam.

"Kami sedang menyaksikan pertumbuhan serta inovasi yang luar biasa dalam fintech Islam, pada masa yang sama, kami melihat potensi yang dimilikinya untuk industri kewangan Islam dan ekonomi global yang lebih luas," katanya.

Fikra Ace dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai ekosistem dan rakan strategik.

Syarikat yang mempunyai penyelesaian fintech inovatif dijemput untuk mengemukakan permohonan, yang akan dibuka sehingga 4 Ogos 2023.

-BERNAMA

Berita Harian X