KUALA LUMPUR: Peningkatan had pelaburan dalam dana Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) berjaya menarik pelaburan baharu sejumlah RM3.5 bilion dalam tempoh tiga bulan lalu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn, berkata jumlah pelaburan baharu yang dicatatkan itu membabitkan kira-kira 96,000 pemegang unit.
Beliau berkata, PNB menaikkan had pelaburan dalam ASB, ASB2 dan ASM bagi membolehkan penyertaan lebih besar daripada masyarakat Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.
Katanya, sambutan yang diterima menggalakkan dan jumlah pelaburan baharu itu dijangka meningkat antara RM3 bilion hingga RM5 bilion menjelang akhir tahun.
"Sejak peningkatan had dana, terdapat RM3.5 bilion wang baharu dalam tempoh tiga bulan lalu. Kira-kira 30 peratus daripadanya adalah pemegang unit Bumiputera," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.
PNB menaikkan had pelaburan bagi ASB dan ASB 2 kepada RM300,000 daripada RM200,000 bermula 1 April 2023.
Sementara itu, saiz dana ASM dinaikkan sebanyak RM5 bilion bermula 1 Mei 2023.
ASB, ASB 2 dan ASM adalah unit amanah ditawarkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.
Pada tahun kewangan 2022, PNB mencatatkan pertumbuhan mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM341.6 bilion berbanding RM322.6 bilion tahun kewangan 2021.
Sementara itu, unit dalam edaran (UIC) bagi semua dana kini berjumlah 282.9 bilion unit.
PNB juga mencatatkan peningkatan bilangan akaun baharu di seluruh negara dengan mencecah jumlah keseluruhan 15.2 juta akaun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, dengan penambahan sebanyak 400,000 akaun.
Sementara itu, dalam usaha kelestarian, Ahmad Zulqarnain berkata, PNB mencapai kemajuan ketara, terutama dengan menggariskan laluan jelas ke arah mencapai pelepasan sifar bersih menerusi Rangka Kerja Kelestarian PNB.
Beliau berkata, PNB menggariskan 10 komitmen kumpulan dalam rangka kerja itu bagi memacu perniagaan dengan pelaburan sejajar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk pulangan mampan dan kompetitif.
Menurutnya, syarikat pengurusan dana itu komited melabur RM10 bilion dalam aset baharu hijau dan peralihan menjelang 2030.
Katanya, PNB memperkenalkan Dasar Hak Buruh, yang berfungsi sebagai rangka kerja komprehensif kepada PNB dan syarikat pelaburannya untuk menangani isu penting seperti gaji wajar, kepelbagaian dan keterangkuman.
"PNB juga mencapai keseimbangan jantina dalam tenaga kerjanya dengan wanita mewakili 36 peratus pasukan pengurusan kanan dan berada dalam landasan mencapai sasaran 40 peratus wanita menjelang 2025," katanya.
Di samping itu juga, PNB giat meneroka kerjasama dengan pasukan kelas aset bagi menilai cadangan hijau baharu dan memangkinkan penggunaan yang lebih bersasar.
Usaha itu akan ditumpukan kepada sektor vertikal utama iaitu pengangkutan hijau, bangunan hijau, tenaga bersih, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pasaran hidrogen dan karbon.