Selasa, 13 Jun 2023 | 4:59pm
Rafizi Ramli -NSTP/Aziah Azmee
Rafizi Ramli -NSTP/Aziah Azmee

Dasar lebih komprehensif bangun ekosistem syarikat pemula

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mengumumkan dasar lebih komprehensif dalam membangunkan ekosistem syarikat pemula di negara ini dan menjadikannya hab digital berdaya saing dengan negara serantau.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata langkah pertama ke arah mencapai matlamat itu adalah bekerjasama dengan tiga kementerian utama lain yang terbabit di dalam ekosistem ekonomi digital.

Rafizi berkata, ia membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

"Menjelang Ogos depan, kita dapat memberi gambaran jelas mengenai hala tuju syarikat pemula dan keseluruhan ekosistem digital."Kita akan lebih fokus untuk kerjasama dengan tiga agensi ini dulu kerana mereka ini bertanggungjawab dalam pembangunan ekosistem digital," katanya kepada media pada acara sembang santai bersama Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MAVCAP, Tunku Alizakri Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP, Shahril Anas Hasan Aziz.

Rafizi berkata, pelaksanaan menyeluruh akan dibuat secara berperingkat untuk membina momentum dalam industri ini bagi memastikan pelaksanaan mempunyai kesan terhadap ekosistem digital termasuk syarikat pemula.

"Jika tidak ia hanya merupakan pengumuman sahaja dan tiada manfaat. Oleh itu, semua agensi terbabit perlu duduk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik kerana ia bukan hanya berkenaan duit, malah turut menyentuh banyak isu lain.

"Oleh itu, dapat saya katakan pemain syarikat pemula boleh menjangkakan sesuatu yang menarik dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata semua agensi dan penyedia ekosistem digital sedang bekerjasama dalam membuat perancangan terbaik dan tidak mustahil Malaysia dapat melangkah lebih cepat mencapai apa yang disasarkan dalam menjadi pilihan hab digital serantau.

"Situasi sekarang ini, di mana pelabur digital asing ramai yang memilih untuk melabur di Singapura dan Indonesia, adalah di luar kawalan dan jangkaan.

"Walaupun begitu, dalam tempoh setahun lagi lebih banyak perkara menarik yang dapat diwujudkan dan kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan pelabur digital asing," katanya.

Menurutnya, dari segi pelaburan Malaysia seiring dengan Indonesia dan Singapura.

"Kementerian dan agensi terbabit juga akan memberi fokus kepada peralihan tenaga seperti solar dan menambah baik beberapa dasar.

"Justeru, kepada pemain industri nantikan pengumuman yang akan dibuat pada Ogos ini. Namun, segala pengumuman yang membabitkan dana atau bantuan akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 yang mana ia akan betul-betul menepati kehendak dan keperluan untuk ekosistem digital," katanya.

Berita Harian X