KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) melantik Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu berkuat kuasa 23 Mei 2023.
MDV yang juga anak syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, Chen akan menggantikan Khairul Azwan Harun yang telah tamat perkhidmatannya pada 31 Disember 2022.
"Dengan pengalaman dan kepakaran Chen yang luas, MDV yakin mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat berasaskan teknologi serta syarikat pemula teknologi di Malaysia.
"MDV juga ingin menghargai jasa, bimbingan dan sumbangan Khairul Azwan Harun sepanjang beliau berkhidmat di MDV selama tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chen mempunyai pengalaman lebih 22 tahun sebagai bekas peguam korporat dengan pengkhususan dalam bidang perundangan teknologi maklumat serta penggabungan dan pengambilalihan.
Beliau telah mendapat pendidikan di United World College of Southeast Asia, Singapura dan kemudiannya telah melanjutkan pelajaran serta memperoleh ijazah perundangan dari University of Warwick, United Kingdom.
Selain daripada mempunyai minat yang mendalam dalam hal ehwal berkaitan perubahan iklim dan hak asasi manusia, beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang fiskal, ekonomi, perdagangan antarabangsa dan penggubalan polisi.
Chen juga sebelum ini turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan
Perdagangan Antarabangsa serta Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)
bagi Pendanaan Politik.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan & Ekonomi dan pernah berkhidmat sebagai anggota dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selama dua tahun.
Selain itu, beliau turut menganggotai pertubuhan antarabangsa termasuk menjadi ahli bagi High Level Working Group on Science & Technology of the Inter-Parliamentary Union (IPU), mewakili
Rantau Asia Pasifik, dan bergiat aktif sebagai ahli kanan pertubuhan ASEAN Parliamentarians for
Human Rights (APHR).