Jumaat, 19 Mei 2023 | 12:23pm
El Niño menyebabkan pemanasan air permukaan di timur Lautan Pasifik -NSTP/Ghazali Kori
El Niño menyebabkan pemanasan air permukaan di timur Lautan Pasifik -NSTP/Ghazali Kori

Ekonomi dunia bakal terjejas teruk fenomena El Niño

WASHINGTON: Fenomena El Niño bukan sahaja menimbulkan beban kewangan malah menyebabkan penduduk dunia hilang pendapatan, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman memetik penyelidikan terbaharu.

El Niño menyebabkan pemanasan air permukaan di timur Lautan Pasifik yang mengubah arus udara dan air di seluruh dunia.

Penyelidik di Dartmouth College Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji aktiviti ekonomi global dalam beberapa dekad berikutan peristiwa El Niño 1982-83 dan 1997-98 mendapati, pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dengan ketara lima tahun selepas setiap kejadian.

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Science, mendapati ekonomi global merosot masing-masing AS$4.1 trilion dan AS$5.7 trilion dalam setengah dekad selepas setiap peristiwa, kebanyakannya terpaksa ditanggung oleh negara termiskin di dunia di kawasan tropika.

Penyelidik, Justin Mankin dan Christopher Callahan mengunjurkan bahawa kerugian ekonomi global untuk abad ke-21 dianggarkan berjumlah AS$84 trilion ekoran perubahan iklim berpotensi meningkatkan kekerapan dan kekuatan El Niño.

El Niño yang dijangkakan pada 2023 boleh menjejaskan AS$3 trilion ekonomi global menjelang 2029.

"Kita boleh mengatakan dengan pasti bahawa masyarakat dan ekonomi bukan hanya terjejas dan kemudiannya pulih.

"Sebaliknya di kawasan tropika dan tempat yang mengalami kesan El Niño, pertumbuhan didapati tertangguh sekurang-kurangnya lima tahun," kata Callahan.

Menurut Mankin, anggaran kos pemanasan global perlu merangkumi kesan El Niño.

"Kebajikan kita terjejas oleh ekonomi global dan ekonomi global pula terikat dengan iklim.

"El Niño meningkatkan ketidaksamaan yang lebih meluas dalam perubahan iklim, memberi kesan yang tidak seimbang kepada golongan yang paling mudah terjejas dan tidak bersedia dalam kalangan kita," katanya.

El Niño lazimnya membawa kemarau teruk di Australia, sebahagian Afrika dan Amerika Selatan dan hujan lebat di sepanjang pantai Pasifik Amerika Syarikat (AS).

-BERNAMA/dpa

Berita Harian X