KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menjadi halangan perdagangan yang akan memberi impak langsung kepada operasi dan perniagaan untuk tempoh jangka panjang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata adalah difahami bahawa blok Kesatuan Eropah (EU) adalah destinasi eksport yang penting, justeru mustahak untuk negara pengeluar minyak sawit menangani isu EUDR sebaik mungkin kerana ia akan menjejaskan mata pencarian berjuta-juta pekebun kecil kelapa sawit serta industri.
"Bagi pasaran Malaysia, EU menyumbang 9.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia atau 1.47 juta tan minyak sawit. Ia adalah angka yang besar dengan beberapa syarikat telah menubuhkan kilang penapisan di Eropah," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-Menteri ke-11 (MM11) Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di sini, hari ini.
Akhir tahun lalu, Parlimen Eropah mencapai persetujuan awal dengan kerajaan EU berhubung perundangan baharu mengenai produk bebas penebangan hutan atau dikenali sebagai EUDR.
EUDR kini sudah diluluskan EU membabitkan enam komoditi seperti soya, daging lembu, minyak sawit, koko, kayu dan kopi.
Perundangan itu mewajibkan pengendali atau operator pengeluaran produk komoditi di bawah skop EUDR untuk membuktikan produk komoditi dihasilkan tidak dikaitkan dengan penebangan hutan melalui proses usaha wajar membabitkan pengesanan dan lokasi geografi.
Sebelum ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyifatkan keputusan Parlimen EU meluluskan undang-undang melarang eksport produk yang menyumbang kepada penebangan hutan akan menjejaskan pendapatan kira-kira 450,000 pekebun sawit di negara ini.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata hasil perbincangan dengan Indonesia selepas lawatan kerja ke Jakarta Februari lalu, Malaysia dan Indonesia melaksanakan misi bersama untuk mengadakan pertemuan dengan penggubal udang-undang dan pegawai EU serta pemain industri bagi mengemukakan pandangan tentang penerimaan EUDR.
"Kami amat percaya Malaysia dan Indonesia telah mengambil langkah yang perlu dalam menangani banyak kebimbangan ini melalui program pensijilan kami. Sebagai contoh, di Malaysia, semua penanam dan kilang kelapa sawit diwajibkan untuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
"Sehingga Mac 2023, 95.37 peratus penanam dan 95.89 peratus kilang telah disahkan mendapat MSPO. Ini menunjukkan bahawa Malaysia serius terhadap isu kemampanan, penebangan hutan dan perubahan iklim, satu perkara yang perlu diiktiraf oleh EU sekarang," katanya.
Beliau menegaskan, pekebun kecil memainkan peranan penting dalam industri minyak sawit dengan Malaysia sahaja memiliki kira-kira 450,000 pekebun kecil dan perlu dilindungi.
"Pekebun kecil menghasilkan kira-kira 40 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bukan sahaja untuk melindungi mereka tetapi juga untuk memperkasakan pekebun kecil dengan pengetahuan dan alatan yang betul," katanya.
Fadillah berkata, beliau mengalu-alukan peranan CPOPC yang akan menganjurkan program tahunan pekebun kecil di Malaysia.
"Mungkin CPOCP juga boleh melihat kemungkinan untuk mewujudkan kerjasama dengan sektor swasta untuk melabur dalam membangunkan teknologi untuk membantu pekebun kecil terutamanya dalam mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan tahap pendapatan," katanya.
Beliau berkata, Malaysia mengharapkan CPOPC diiktiraf oleh penggubal dasar antarabangsa, kumpulan sosial dan organisasi serta pemain industri.
"Hakikatnya ialah tidak dapat tidak, kita akan terus menghadapi pelbagai cabaran semasa kita bergerak ke hadapan, sama seperti cabaran yang kita hadapi sekarang dengan EUDR.
"Justeru, saya percaya CPOPC memiliki peranan penting dan harus dilihat sebagai badan global utama yang memperjuangkan isu berkaitan industri sawit.
"Kita perlu terus-menerus menentang maklumat salah dengan berkesan dan mendidik pengguna. Oleh itu, CPOPC perlu mempunyai kapasiti untuk meningkatkan persepsi positif minyak sawit dan peranan pentingnya dalam keselamatan makanan global dan pembangunan ekonomi," katanya.