KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai pasaran penting dalam pasaran pusat data global dengan menarik pelaburan berbilion dolar daripada syarikat teknologi global.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata Malaysia muncul sebagai pasaran utama pusat data rantau Asia Pasifik (APAC) kerana antara lain oleh dasar kerajaan yang menyokong.
Selain itu katanya, tahap ketersambungan yang tinggi, populasi yang ramai, banyak tanah yang kompetitif dari segi kos, tenaga mampan yang murah dan kedudukan geografi negara ini di tengah-tengah ASEAN dan bersebelahan dengan Singapura.
"Malaysia mempunyai kesalinghubungan yang amat baik ke seluruh Asia dan dunia melalui 29 rangkaian kabel dasar laut dengan 14 stesen pendaratan. Tiga kabel dasar laut tambahan mungkin akan beroperasi dalam talian dalam beberapa tahun akan datang.
"Penduduk negara ini adalah muda, celik digital dan cenderung ke arah mudah alih. Hanya kira-kira lapan peratus mencecah usia persaraan, manakala 23 peratus berumur 14 tahun ke bawah.
"Sementara itu, 89 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna telefon pintar dan internet. Ia antara kadar tertinggi di Asia Tenggara. Populasi muda dan digital ini memacu pasaran e-dagang negara yang berkembang pesat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kashif berkata, kebanyakan penganalisis menjangkakan pasaran e-dagang di Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 13.6 peratus menjelang 2027 dengan e-dagang dijangka bernilai AS$17 bilion pada tahun sama.
"Malaysia berada di landasan pantas ke arah pendigitalan selanjutnya. Sebagai contoh, inisiatif JENDELA akan membawa kepada pelaburan sebanyak RM21 bilion dalam perkhidmatan jalur lebar pantas.
"Ia juga akan memastikan bahawa hampir setiap rakyat Malaysia sekurang-kurangnya boleh mengakses perkhidmatan jalur lebar 4G. Komuniti perniagaan juga pantas menerima manfaat pendigitalan. Tiga perempat daripada syarikat Malaysia telah menerima pakai beberapa jenis perkhidmatan awan.
"Dorongan kuat Malaysia ke arah penggunaan 5G memanfaatkan pasaran pusat data dan sudah pun ada peningkatan permintaan. Pengumuman bahawa Malaysia mungkin melancarkan rangkaian 5G kedua mungkin akan meningkatkan penggunaan," katanya.
Ketika ini, terdapat 33 pusat data di Malaysia dengan sekurang-kurangnya sedozen lagi dalam perancangan pembangunan.
Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Selangor setakat ini adalah lokasi utama untuk pusat data, diikuti oleh Johor.
Mengulas lanjut Kashif berkata: "Anda tidak boleh membina pusat data tanpa sebidang tanah, jadi adalah lebih sukar untuk membina pusat data di pasaran dengan kos tanah yang tinggi.
"Malaysia mempunyai kelebihan yang ketara berbanding pasaran lain apabila membabitkan kos tanah. Johor dan Kuala Lumpur mempunyai kos tanah terendah bagi pasaran data teratas di APAC. Tanah di Johor dan Kuala Lumpur boleh diperoleh untuk pusat data pada kira-kira satu perempat kos tanah dibandingkan dengan pasaran pusat data nombor satu dunia, iaitu Northern Virginia, di Amerika Syarikat (AS).
"Malaysia mempunyai kira-kira 600 estet perindustrian dengan ketersambungan yang kukuh yang mungkin menjadikannya menarik sebagai tapak untuk pusat data," katanya.