Jumaat, 12 Mei 2023 | 12:03pm
Pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri - NSTP/Fathil Asri
Pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri - NSTP/Fathil Asri

Malaysia catat pertumbuhan ekonomi mantap 5.6 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang kukuh 5.6 peratus pada suku pertama 2023, disokong permintaan dalam negeri yang kukuh.

Prestasi itu lebih baik berbanding pertumbuhan lima peratus yang dicatatkan pada suku sama 2022.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Beliau berkata, pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta selain aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan.

Katanya, pelancongan ke dalam Malaysia yang terus pulih turut meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

"Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan.

"Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus berbanding -1.7 peratus pada suku keempat 2022," katanya pada sidang media prestasi ekonomi suku pertama 2023 di sini, hari ini.

Nor Shamsiah menambah, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan pada 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Beliau berkata, walaupun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun ini.

"Perkembangan ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang kukuh. Guna tenaga dan pendapatan yang bertambah baik serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun akan menyokong aktiviti penggunaan dan pelaburan.

"Selain itu, aktiviti pelancongan ke dalam negeri yang lebih giat akan menyokong industri perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelanggan," katanya.

Gabenor bank pusat itu berkata, risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif seimbang.

Beliau berkata, risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

"Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada eksport yang lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu," katanya.

Berita Harian X