Khamis, 11 Mei 2023 | 1:10pm
Gambar hiasan. Pemandangan menarik Menara berkembar KLCC dan sekitar bandar Kuala Lumpur, Gambar dirakam dari The Face Suites. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Gambar hiasan. Pemandangan menarik Menara berkembar KLCC dan sekitar bandar Kuala Lumpur, Gambar dirakam dari The Face Suites. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Ekonomi suku pertama dijangka berkembang sederhana - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka berkembang sederhana tetapi masih kukuh dengan lebih lima peratus peratus pada suku pertama 2023 meskipun berdepan persekitaran mencabar, demikian kata penganalisis.

Maybank IBG Research menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka berkembang 5.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 7.0 peratus pada suku keempat 2022.

Ia berkata, aliran penurunan dijangka berterusan dalam pertumbuhan KDNK pada suku kedua tahun ini.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan petunjuk daripada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang merosot 5.4 peratus pada April 2023 berbanding susut 1.6 peratus pada Mac 2023.

Katanya, ia memberi petunjuk kemungkinan kelembapan selanjutnya dalam keluaran pembuatan, serta kemerosotan berterusan dalam pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang menyusut 18.2 peratus pada bulan lalu.

"Kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan berkembang perlahan kepada 4.0 peratus tahun ini berbanding 8.7 peratus tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikannya.

CGS-CIMB menjangkakan perbelanjaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan KDNK pada suku pertama tahun ini.

Ia menjangkakan KDNK benar Malaysia akan berkembang 5.7 peratus pada suku pertama disokong oleh kekukuhan sektor perkhidmatan dan peningkatan dalam pasaran pekerjaan.

"Berdasarkan data yang ada, yang meliputi lebih 80 peratus daripada KDNK Malaysia, kami menganggarkan ekonomi berkembang 5.7 peratus pada suku pertama 2023, perlahan berbanding 7.0 peratus pada suku keempat 2022, tetapi masih agak kukuh, pada pandangan kami," katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan KDNK negara bagi suku pertama 2023 perlahan kepada 5.2 peratus berbanding 7.0 peratus pada suku keempat 2022 berikutan pertumbuhan sederhana merentasi semua sektor.

Ia berkata, penggunaan swasta dijangka terus menjadi pemacu kepada pertumbuhan walaupun pada kadar yang perlahan.

"Kami menjangkakan penyederhanaan dalam sektor pembuatan, dicerminkan oleh kelembapan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada suku pertama 2023 yang mencatatkan 3.4 peratus berbanding 4.0 peratus pada suku keempat 2022.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti pembuatan berorientasikan eksport yang lebih perlahan pada suku itu di tengah-tengah pertumbuhan global yang lemah dan permintaan antarabangsa yang hambar," katanya.

Keputusan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2023 dijadualkan diumumkan pada 12 Mei 2023.

Berita Harian X