Rabu, 10 Mei 2023 | 2:56pm
Ekonomi domestik menjadi semakin penting sebagai penjana -NSTP/Eizairi Shamsudin
Ekonomi domestik menjadi semakin penting sebagai penjana -NSTP/Eizairi Shamsudin

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang baik suku pertama 2023

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar antara 5.0 hingga 6.0 peratus pada suku pertama, berbanding lima peratus yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, dipacu permintaan domestik yang turut disokong pelaksanaan Belanjawan 2023.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata perkembangan ekonomi yang baik pada tempoh sama tahun lalu selepas pembukaan ekonomi pada suku keempat 2021, menyebabkan asas yang tinggi untuk perbandingan antara suku ke suku tahun ini.

"Prestasi suku pertama masih lagi baik dan meletakkan ekonomi Malaysia pada momentum yang baik, walaupun sederhana berbanding suku keempat 2022. Ekonomi domestik menjadi semakin penting sebagai penjana ekonomi selepas eksport barangan negara mengalami penurunan permintaan.

"Dasar fiskal kerajaan dengan Belanjawan 2023 yang terbesar, iaitu RM388.1 bilion meletakkan ekonomi domestik pada landasan yang tepat untuk berkembang.

"Bagaimanapun, dasar monetari dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 1.25 peratus kepada 3.0 peratus sedikit memperlahankan pecutan ekonomi domestik daripada terlalu panas yang sekiranya tidak diselia boleh meningkatkan kadar inflasi kembali yang pada masa ini semakin bertambah baik," katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara oleh kerajaan berada pada landasan terbaik bagi mencapai sasaran antara 4.0 hingga 5.0 peratus berdasarkan pada faktor semasa.

"Sekiranya China membuka ekonomi dengan lebih luas seperti jangkaan awal, maka ekonomi negara akan mendapat manfaat yang sangat baik, terutama daripada pelaburan asing yang dijangkakan dari China berjumlah RM170 bilion, selain suntikan daripada syarikat multinasional seperti Amazon dan Tesla.

"Hutang kerajaan tidak boleh ditambahkan lagi maka perbelanjaan kerajaan tidak boleh diharapkan sepenuhnya untuk menjadi pemangkin ekonomi selamanya.

"Kegiatan pengguna juga berpotensi untuk menjana ekonomi domestik, tetapi perlu dikawal selia untuk mengelakkan lonjakan kadar inflasi. Justeru, kebergantungan adalah kepada pelaburan asing untuk menjadi pemangkin ekonomi Malaysia 2023," katanya.

Beliau berkata, ekonomi global yang mula perlahan dengan pelbagai perubahan geopolitik dan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS) banyak merubah situasi dalam tempoh setahun.

"Ini antara faktor penurunan pertumbuhan ekonomi global lalu memberikan kesan kepada penurunan Pertumbuhan eksport Malaysia, walaupun masih mencatatkan lebihan dagangan yang berterusan. Prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pertumbuhan bulan ke bulan kedua berturut-turut sebanyak 0.3 peratus pada Februari (Januari: -14.5 peratus)," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata ekonomi negara dijangka kekal kukuh pada suku pertama tahun ini, dengan unjuran pertumbuhan KDNK dijangka pada sekitar 5.0 hingga 5.3 peratus, dipacu oleh permintaan domestik serta faktor Belanjawan 2023 yang bersifat mengembang, terutama dasar pemberian bantuan tunai langsung kepada golongan B40.

"Kadar pengangguran yang lebih baik serta trend inflasi yang lebih stabil juga mendorong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang baik pada suku pertama tahun ini, selain aktiviti pelancongan yang dilihat semakin rancak dijangka akan memberikan kesan positif kepada sektor pertumbuhan sektor pelancongan.

"Selain daripada itu, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada Mac juga menunjukkan sedikit peningkatan berbanding Februari, menggambarkan prestasi yang mungkin lebih baik kepada sektor perkilangan/pembuatan pada suku pertama tahun ini," katanya.

Irwan Shah berkata, walaupun jangkaan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama dijangka lebih rendah daripada prestasi suku keempat 2022, ia dilihat lebih sihat kerana tidak dipengaruhi secara signifikan akibat daripada kesan asas rendah.

"Data ekonomi negara pada suku kedua tahun ini juga dijangka lebih rendah daripada suku pertama tahun ini, terutama akibat daripada keadaan ekonomi global yang dijangka masih lagi tidak menentu, terutama jangkaan kemelesetan ekonomi di negara maju, terutama di AS dan juga penerusan dasar pengetatan monetari selain ketegangan geopolitik Russia-Ukraine yang masih lagi berlarutan," katanya.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000 apabila berkembang pantas 8.7 peratus pada 2022, sekali gus pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Pada suku terakhir 2022, ekonomi negara berkembang 7.0 peratus dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, sekali gus menyokong pertumbuhan bagi keseluruhan tahun lalu mengatasi unjuran awal sekitar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.

Pada suku pertama 2022, ekonomi Malaysia berkembang kukuh kepada 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku sama 2021, disokong terutama oleh pengukuhan permintaan domestik.

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijadual umum prestasi KDNK suku pertama negara Jumaat ini.

Berita Harian X