KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi optimis dengan pertumbuhan ekonomi negara dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka berada pada landasan pertumbuhan seimbang dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.
Menterinya, Rafizi Ramli, berkata harapan kepada pertumbuhan seimbang merangkumi potensi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kedudukan kewangan kerajaan.
"Ekonomi negara diharapkan berada pada landasan yang lebih baik dalam mengembalikan kedudukan fiskal negara dan melaksanakan perubahan dalam struktur ekonomi membabitkan pelbagai sektor termasuk tenaga," katanya pada sidang media selepas pelancaran UK-Malaysia Clean Growth Handbook di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay.
Mengulas mengenai jangkaan prestasi ekonomi pada suku pertama, Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi positif dan yakin dengan pencapaian negara dalam tempoh beberapa bulan lalu meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya ekonomi global yang mencabar.
"Saya menghormati proses pengumuman rasmi KDNK oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Justeru, saya akan ulas selepas pengumuman prestasi ekonomi suku pertama di buat.
"Kita tunggu pengumuman rasmi dari BNM. Cuma apa yang saya boleh katakan adalah, saya yakin dengan pertumbuhan ekonomi negara. Saya berpendapat negara sedang membina peningkatan unjuran pertumbuhan positif secara berperingkat," katanya.
BNM dan DOSM dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai prestasi ekonomi suku pertama Jumaat ini.
Penganalisis ekonomi menjangkakan KDNK negara berkembang pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus pada suku pertama, berbanding lima peratus yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, dipacu permintaan domestik yang turut disokong pelaksanaan Belanjawan 2023.
Ia disebabkan perkembangan ekonomi yang baik pada tempoh yang sama tahun lalu selepas pembukaan ekonomi pada suku keempat 2021, menyebabkan asas yang tinggi untuk perbandingan antara suku ke suku tahun ini.
Bagi tempoh setahun penuh pula, Fitch Solutions, sebelum ini menjangkakan pertumbuhan KDNK benar Malaysia akan lebih perlahan kepada 4.0 peratus pada 2023 berbanding jangkaan pertumbuhan kukuh 8.4 peratus pada 2022.
Bank Dunia pula menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.0 peratus tahun ini
Menurut firma penyelidik, pertumbuhan ekonomi diunjurkan lebih sederhana tahun ini, dengan jangkaan permintaan luaran yang berkurangan disebabkan oleh langkah memperketatkan dasar bagi membendung tekanan inflasi.
Selain inflasi, risiko kemelesetan ekonomi global dan peningkatan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan ekonomi global, sekali gus melemahkan lagi tinjauan perdagangan luar Malaysia.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000 apabila berkembang pantas 8.7 peratus pada 2022, sekali gus pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Pada suku terakhir 2022, ekonomi negara berkembang 7.0 peratus dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, sekali gus menyokong pertumbuhan bagi keseluruhan tahun lalu mengatasi unjuran awal sekitar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.