Khamis, 4 Mei 2023 | 1:04pm
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli -NSTP/Genes Gulitah
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli -NSTP/Genes Gulitah

'Ubah mentaliti nilai kejayaan berdasarkan kerjaya makan gaji'

KUALA LUMPUR: Mentaliti sedia ada yang memandang kejayaan berdasarkan kerjaya makan gaji perlu diubah kerana keusahawanan menjanjikan hasil yang lebih baik, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

"Masyarakat perlu disedarkan bahawa pendapatan bulanan yang baik sebenarnya boleh diperolehi dengan mengusahakan produk sendiri, syarikat atau perkhidmatan.

"Kita perlu mula ubah pandangan masyarakat agar turut menerima bahawa untuk ada masa depan yang baik, pendapatan bulanan yang baik sebenarnya bukan hanya makan gaji.

"Mengusahakan sendiri produk, syarikat ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan dengan inovasi itu sebenarnya juga ada potensi pendapatan dan kerjaya yang baik," katanya dalam program bual bicara Agenda Awani.

Dalam pada itu, Rafizi berkata Malaysia masih memerlukan suntikan segera terhadap pembangunan ekosistem yang kondusif terutamanya membabitkan keusahawanan digital dan syarikat pemula niaga kerana ia akan dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam melihat Malaysia sebagai pusat inovasi dan ekonomi digital serantau.

Beliau berkata, ia juga dapat memberi jaminan bagi menambahkan lagi jumlah syarikat pemula serta golongan muda yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Ini kerana, katanya banyak pihak masih memerlukan sokongan kewangan atau dana daripada entiti lain selain kerajaan seperti pihak swasta dan pelabur domestik serta asing dalam sistem perniagaan pada masa ini.

"Tanggungjawab kerajaan bukan hanya pendanaan, tetapi memastikan pendanaan itu berjalan dengan rancak dan untuk itu, ia tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.

"Kita memerlukan pelaburan dan suntikan sektor swasta terutama pelabur dari dalam dan luar negara seperti mana yang berlaku di negara lain," katanya.

Rafizi berkata, sebagai contoh hampir keseluruhan pembangunan ekosistem di Lembah Silikon,dipacu oleh pelaburan swasta.

Justeru, beliau berkata dalam usaha menarik pelaburan swasta, Malaysia perlu beralih kepada komponen lain dalam ekosistem sedia ada.

"Ini kerana, pelabur ingin melihat betapa rancak dan tingginya tahap inovasi yang ada di sesebuah negara sebelum melaksanakan pelaburan," katanya.

Berita Harian X