KUALA LUMPUR: Keputusan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan undang-undang melarang eksport produk yang menyumbang kepada penebangan hutan akan menjejaskan pendapatan kira-kira 450,000 pekebun sawit di negara ini.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata keperluan untuk patuh kepada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) itu akan meningkatkan kos penghasilan dan harga produk sawit.
Beliau berkata, selain peningkatan kos dan harga produk secara berperingkat, pematuhan EUDR terhadap komoditi kepada EU boleh mengurangkan keupayaan membeli oleh negara kurang maju yang amat bergantung kepada minyak masak dengan harga munasabah.
"Ini bermakna, negara lain juga terpaksa membeli minyak sawit pada harga lebih tinggi dan mengurangkan permintaan yang seterusnya menyebabkan harga minyak sawit akan menurun.
"Harga rendah ini meningkatkan permintaan, tetapi memberi kesan kepada pekebun sawit kerana mendapatkan harga rendah sedangkan kos penghasilan terus meningkat. Ini adalah kesan secara tidak langsung tetapi amat membimbangkan," katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan EU meluluskan undang-undang melarang eksport produk yang menyumbang kepada penebangan hutan.
Ia dilihat usaha terancang untuk meningkatkan kos dan halangan terhadap sektor sawit Malaysia, khususnya terhadap 450,000 pekebun kecil.
Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport kedua terbesar sawit dunia selepas Indonesia.
EU adalah salah destinasi eksport sawit terpenting Malaysia selain India dan China.
Tahun lalu, nilai eksport sawit Malaysia ke EU adalah yang tertinggi iaitu RM21.21 bilion, diikuti oleh India (RM18.45 bilion) dan China (RM16.4 bilion).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini berkata berikutan keputusan EU itu, kesan buruk akan dihadapi masyarakat luar bandar antaranya meningkatkan tahap kemiskinan dan mengurangkan pendapatan isi rumah.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, situasi itu jelas bercanggah dengan komitmen EU terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Fadillah berkata, peraturan itu adalah tidak adil dan berfungsi untuk melindungi pasaran minyak bijian tempatan yang kurang cekap dan tidak mampu bersaing dengan eksport minyak sawit Malaysia yang lebih efisien dan produktif.
Akhir tahun lalu, Parlimen Eropah mencapai persetujuan awal dengan kerajaan EU berhubung perundangan baharu mengenai produk bebas penebangan hutan atau dikenali sebagai EUDR.
EUDR kini sudah diluluskan EU membabitkan enam komoditi seperti soya, daging lembu, minyak sawit, koko, kayu dan kopi.
Perundangan itu mewajibkan pengendali atau operator pengeluaran produk komoditi di bawah skop EUDR untuk membuktikan produk komoditi dihasilkan tidak dikaitkan dengan penebangan hutan melalui proses usaha wajar membabitkan pengesanan dan lokasi geografi.
Ahmad Parveez berkata, kos pematuhan EUDR itu secara tidak langsung menyebabkan produk berasas minyak sawit akan kehilangan beberapa kelebihan yang kini dinikmatinya iaitu kos penghasilan yang rendah serta harga produk akhir jauh lebih murah daripada minyak yang mereka hasilkan khususnya minyak bunga matahari dan biji sesawi.
"Industri sawit telah memenuhi keperluan persijilan mampan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) secara mandatori, selain perlu memenuhi keperluan EUDR.
"Produk dihasilkan di EU tiada keperluan persijilan mampan serta tiada keperluan memenuhi EUDR. Ini jelas menunjukkan diskriminasi terhadap produk pesaing dihasilkan di luar EU," katanya.
Beliau berkata, selain peningkatan kos pematuhan untuk memenuhi kehendak EUDR, EU dikhuatiri tidak membeli minyak sawit dengan meletakkan atau mengkelaskan negara pengeluar seperti Malaysia sebagai mempunyai risiko tinggi untuk melakukan penebangan hutan bagi menghasilkan minyak sawit.
"Ini dapat dilihat dalam kes EU Renewable Energy Directive (RED2) di mana hanya minyak sawit dikelaskan mempunyai risiko mengubah penggunaan tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi dan seterusnya akan dikurangkan kuotanya mulai 2023 secara perlahan-lahan hingga sifar menjelang 2030.
"Jika Malaysia diklasifikasikan sebagai mempunyai risiko tinggi penebangan hutan, maka mereka boleh membuat keputusan untuk tidak membeli minyak sawit Malaysia," katanya.
Ahmad Parveez berkata, secara jelas, usaha pelaksanaan EUDR itu akan memberikan tekanan kepada industri sawit negara khususnya daripada aspek peningkatan kos pematuhan di samping berisiko dinafikan masuk ke EU akibat tuduhan mempunyai risiko penebangan hutan yang tinggi.
"Tekanan ini lebih teruk dirasakan oleh pekebun kecil yang rata-ratanya mempunyai kawasan tanaman terhad, selain kekangan kewangan.
"Kita amat berharap EU membuktikan sebagai negara maju, mereka bersikap lebih profesional dan adil terhadap petani negara lain, khususnya dari negara membangun," katanya.