Selasa, 25 April 2023 | 1:20pm
Setiap kenaikan harga ayam sebanyak 10 peratus dijangka memberi kesan langsung menaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan -NSTP/Fathil Asri
Setiap kenaikan harga ayam sebanyak 10 peratus dijangka memberi kesan langsung menaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan -NSTP/Fathil Asri

Pengapungan harga ayam, telur bakal menaikkan inflasi

KUALA LUMPUR: Harga ayam dan telur yang bakal diapungkan pada Julai ini berpotensi menaikkan inflasi keseluruhan di Malaysia, demikian menurut penganalisis.

Maybank IBG Research dalam satu nota penyelidikan berkata, setiap kenaikan harga ayam sebanyak 10 peratus dijangka memberi kesan langsung menaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan.

Ia adalah berdasarkan simulasi yang dibuat firma penyelidikan pasaran itu bagi menunjukkan kesan langsung setiap 10 peratus kenaikan harga ayam terhadap inflasi keseluruhan.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Banking Group itu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) baru-baru ini mengumumkan bahawa harga ayam dan telur akan diapungkan pada Julai 2023.

Ia berkata, pengapungan harga itu dilaksanakan bagi menangani kekurangan makanan domestik, justeru subsidi bersasar untuk kumpulan B40 akan disediakan.

"Walaupun tiada butiran diberikan mengenai pengapungan harga ayam dan telur, simulasi kami menunjukkan bahawa kesan langsung daripada setiap kenaikan 10 peratus dalam harga ayam pada separuh kedua 2023 akan secara langsung menaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan pada 2023," katanya.

Mengenai inflasi bagi 2023, Maybank IBG Research buat masa ini masih mengekalkan unjurannya pada 3.0 peratus.

Ia berkata, pengekalan unjuran itu berikutan jangkaan kadar inflasi bulanan akan turun di bawah 3.0 peratus pada separuh kedua 2023 terutamanya berdasarkan kesan asas dan Belanjawan 2023 yang menunjukkan subsidi bahan api kekal buat masa ini.

Namun, katanya, risiko inflasi kekal lebih cenderung kepada peningkatan di tengah-tengah dasar yang masih tidak berubah mengenai subsidi dan kawalan harga, pelaksanaan subsidi elektrik bersasar dan rancangan untuk mengapungkan harga ayam dan telur pada Julai 2023.

"Keputusan terkini oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+) mengurangkan pengeluaran minyak mentah secara sukarela sehingga 1.66 juta tong sehari pada Mei hingga Disember 2023, dijangka mengekalkan tekanan aliran meningkat terhadap harga minyak mentah global.

"Justeru, kami mengunjurkan harga minyak AS$100 setong untuk tahun ini," katanya.

Mengenai unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi 2023, Maybank IBG Research menjangkakan lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas, yang akan membawa kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu kembali ke paras sebelum COVID-19 iaitu 3.00 peratus.

Ia berkata, Pernyataan Dasar Monetari (MPS) terkini menunjukkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan perkataan 'normalisasi seterusnya', membayangkan kitaran kenaikan OPR masih belum berakhir.

Katanya, MPS juga menunjukkan pemerhatian terhadap faktor kos, termasuk yang timbul daripada perkembangan pasaran kewangan, yang pihaknya berpandangan, sebahagian besarnya mengenai ringgit, yang boleh menjejaskan prospek inflasi.

"Kami menjangkakan lagi kenaikan 25 mata asas tahun ini untuk membawa OPR kembali ke paras sebelum COVID 19 iaitu 3.00 peratus. Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya ialah pada 2 hingga 3 Mei 2023," katanya.

Berita Harian X