PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan program realiti televisyen dikenali Innovathon khusus memberi peluang kepada rakyat mengembangkan idea inovatif di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program itu diharap dapat menjadi platform menjana dan mengembangkan idea inovatif yang boleh dikomersialkan sebagai produk digital dan teknologi pada masa akan datang.
Beliau berkata, ia dilaksanakan dengan kerjasama saluran televisyen berbayar, Astro dan akan ditayangkan secara episod bermula Jun depan.
"Buat permulaan, rakyat Malaysia yang berminat tanpa mengira had umur boleh menyertai program itu dengan menghantar idea inovatif berbentuk video ringkas masing-masing bermula hari ini sehingga 7 Mei depan.
"Program realiti TV ini dijangka mula bersiaran pada Jun selama 10 minggu," katanya pada majlis pra pelancaran Innovathon di sini, hari ini.
Rafizi berkata, video ringkas yang dihantar akan dinilai dan peserta terpilih kemudiannya dijemput hadir secara fizikal untuk saringan panel hakim di enam lokasi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Katanya, peserta pada peringkat berkenaan akan menerima bimbingan daripada mentor berpengalaman dalam bidang perniagaan, produk, dan teknologi malah, idea mereka akan dibentangkan di hadapan bakal pelabur.
"Sebanyak 56 idea inovasi terbaik yang melepasi uji bakat fizikal akan menyertai program realiti Innovathon di mana pemenang terpilih berpeluang memenangi modal asas permulaan RM1 juta.
"Kami berharap usaha melalui Innovathon ini akan membina keyakinan lebih ramai bakat dalam masyarakat untuk membina kerjaya dan inovasi dalam bidang ekonomi digital," katanya.
"Program ini diharap dapat memupuk minat rakyat untuk mempopularkan inovasi sekali gus mewujudkan lebih banyak syarikat pemula tempatan pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Rafizi dalam satu hantaran di Facebook berkata, rakyat Malaysia adalah pengguna teknologi yang tinggi, dengan tahap penggunaan telefon pintar dan internet yang tinggi, sistem pembayaran digital yang matang, dan penggunaan media sosial yang meluas.
"Walau bagaimanapun, kita jarang melihat diri sebagai pencipta atau inovator yang boleh membangunkan produk digital dan tech untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Menurut Indeks Inovasi Global, penarafan inovasi Malaysia semakin merosot sejak sedekad yang lalu.
"Kemerosotan budaya inovasi dalam masyarakat merencatkan usaha negara menambah baik kandungan ekonomi ke arah bernilai tinggi. Usaha meningkatkan gaji purata rakyat bergantung kepada pertambahan peluang pekerjaan baharu dalam bidang digital dan teknologi yang lazimnya
menawarkan gaji yang lebih tinggi.
"Lebih ramai rakyat Malaysia membudayakan inovasi dan melahirkan produk digital dan teknologi yang dikomersialkan, lebih banyak syarikat berasaskan ekonomi digital dan teknologi yang berkembang di Malaysia," katanya.
Individu berminat menyertai Innovathon boleh berkongsi idea masing-masing menerusi [email protected] beserta video ringkas bermula hari ini hingga 7 Mei depan.