KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sempadan China dilihat gagal memberi rangsangan kukuh terhadap permintaan cip, demikian kata Kenanga Research.
Penganalisisnya, Samuel Tan, berkata pihaknya menjangkakan pelarasan inventori industri akan berterusan sehingga suku kedua 2023.
Beliau berkata, pihaknya mendapati syarikat berkaitan teknologi di bawah liputannya melihat tidak ada peningkatan besar dalam permintaan cip susulan pembukaan semula China baru-baru ini, yang mana akan kekal dalam jangka sederhana.
Katanya, World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan permintaan cip global akan merosot sebanyak 4.1 peratus, berikutan pertumbuhan 3.3 peratus yang mengecewakan pada 2022 berbanding jangkaan 4.4 peratus.
"Dengan teknologi yang semakin matang, prospek untuk telefon pintar akan kekal suram kerana model baharu berkemungkinan hanya menggabungkan peningkatan kecil sementara kitaran penggantian dipanjangkan.
"Juga tidak membantu ialah permintaan tidak menentu untuk semikonduktor automotif memandangkan pengeluar kereta merasionalisasikan inventori mereka di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi," katanya dalam nota penyelidikannya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'NEUTRAL' terhadap sektor teknologi berikutan pelarasan inventori yang berpanjangan.
Ia berkata, WSTS mengunjurkan penguncupan sebanyak 4.1 peratus pada 2023 memandangkan permintaan cip akan terus terkesan oleh permintaan yang lebih lemah, terutamanya bagi elektronik pengguna, berikutan kadar faedah dan inflasi yang tinggi.
Katanya, ia berikutan pertumbuhan jualan semikonduktor global 2022 sebanyak 3.3 peratus, lebih rendah berbanding unjuran WSTS sebanyak 4.4 peratus disebabkan oleh kelembapan ketara dalam separuh kedua 2022.
Kenanga Research berkata, permintaan cip global terus menguncup sejak penurunan pertamanya pada September 2022.
Seterusnya, pada Disember 2022, jualan di Amerika Syarikat (AS) bertukar negatif buat pertama kali dengan kemerosotan 6.1 peratus, menyertai pasaran China dan Asia Pasifik dalam trajektori pertumbuhan negatif.
Walaupun pengumuman China membuka semula sempadannya pada Januari 2023 melonjakkan keseluruhan sentimen, ia sebenarnya telah memberikan sedikit rangsangan kepada permintaan asas.
Ia terbukti dengan permintaan yang suram pada Januari 2023 (-18.5 peratus dari tahun ke tahun) seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) di seluruh AS (-12.4 peratus), Eropah (+0.9 peratus) dan Jepun (+0.7 peratus), China (-31.6 peratus) dan Asia Pasifik (-19.5 peratus).