Isnin, 3 April 2023 | 2:23pm
Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail. - NSTP/Amirudin Sahib
Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail. - NSTP/Amirudin Sahib

BNM nilai kesan kenaikan OPR tahun lalu sebelum bertindak lanjut

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali sebanyak 100 mata asas sepanjang tahun lalu ke atas ekonomi Malaysia sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut, kata Penolong Gabenor, Fraziali Ismail.

Beliau berkata, kesan daripada kenaikan berkala OPR kepada 2.75 peratus memerlukan bank pusat menilai kesan kenaikan kadar faedah ke atas keadaan semasa ekonomi Malaysia.

"BNM berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran. Sebagai contoh, tahun ini kedua-dua inflasi utama dan teras diunjurkan kepada 2.8 peratus dan 3.8 peratus, manakala pertumbuhan ekonomi antara empat dan lima peratus," katanya selepas forum Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menaikkan OPR secara beransur-ansur menerusi empat kali pelarasan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Mei, Julai, September dan November 2022, yang mana secara keseluruhan, kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas menaikkan kadar itu kepada 2.75 peratus berbanding dengan paras terendah yang pernah dicatatkan iaitu 1.75 peratus pada 2020.

Sebelum ini, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bank pusat mengambil langkah berhati-hati bagi dalam membuat sebarang keputusan berkait OPR dalam mesyuarat MPC akan datang.

Nor Shamsiah berkata, perbincangan mengenai keputusan kadar terletak pada kesan kenaikan kumulatif OPR yang lalu.

Beliau berkata, bank pusat itu kekal dalam melaksanakan pengimbangan teliti yang akhirnya mahu mencapai kestabilan dalam harga dan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, keadaan ketika ini tidak menentu, persekitaran sentiasa berubah sehingga ke tahap yang memberi kesan kepada pandangan dan dasar monetari, justeru itu adalah penting bagi BNM untuk tidak melakukan kenaikan terlalu cepat atau lambat.

Berita Harian X