Khamis, 30 March 2023 | 5:08pm
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB)
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB)

ASB 2 agih pendapatan 5.00 sen sesaham, ASM 4.50 sen

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 5.00 sen seunit dan Amanah Saham Malaysia (ASM) 4.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

Kedua-dua dana harga tetap itu membabitkan pengagihan sebanyak RM1.64 bilion.

Bagi ASB 2, agihan pendapatan berjumlah RM620 juta membabitkan 513,244 pemegang unit yang kini memiliki 12.42 bilion unit, manakala ASM pula membabitkan pembayaran sebanyak RM1.02 bilion kepada 575,351 pemegang unit dengan pegangan 22.74 bilion unit.

Sehingga 28 Mac 2023, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM536.09 juta, manakala ASM pula berjumlah RM784.83 juta.

Menurut ASNB, pendapatan bagi kedua-dua dana itu diperoleh melalui keuntungan, dividen serta sumbangan pendapatan lain terealisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi dan kebimbangan terhadap kemelesetan global yang meningkat.

"Kedua-dua dana juga telah mendapat manfaat daripada strategi kepelbagaian portfolio masing-masing dengan peningkatan peruntukan dalam instrumen pendapatan tetap seiring dengan peningkatan keluk kadar hasil," katanya.

Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.00 peratus dan 4.50 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.52 peratus sebanyak 248 mata asas untuk ASB 2 dan 198 mata asas bagi ASM.

"Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

"Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2023," katanya.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet telah ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Mac 2023 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 3 April 2023.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada Februari lalu, PNB memaklumkan had pelaburan individu dalam ASB dan ASB 2 ditingkatkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2023.

Peningkatan had pelaburan ini merupakan satu langkah positif dan sejajar dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berita Harian X