KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sederhana antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata ekonomi dijangka menghadapi cabaran daripada pertumbuhan global yang semakin perlahan.
Ia berkata, kebimbangan berterusan terhadap kos sara hidup dan kos input yang tinggi serta kesannya terhadap tingkah laku perbelanjaan isi rumah dan perniagaan akan menambahkan cabaran itu.
"Meskipun demikian, keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun yang berterusan serta aktiviti pelancongan yang semakin
giat, terutamanya dengan penyambungan semula pelancongan keluar China, dijangka menyokong penggunaan swasta dan pertumbuhan pelaburan," katanya dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022.
BNM berkata, pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan boleh menjejaskan
sentimen pengguna dan perniagaan serta prestasi perdagangan.
Ia berkata, dasar monetari yang diketatkan oleh bank-bank pusat utama akan menyebabkan
penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global.
Selain itu, katanya, konflik geopolitik yang terus meruncing boleh memberikan kesan
buruk terhadap ekonomi dan perdagangan global.
"Inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di dalam negeri akan menjejaskan kuasa beli isi rumah dan keuntungan syarikat.
"Keadaan ini masing-masing boleh memberikan kesan terhadap keputusan perbelanjaan isi rumah dan pelaburan syarikat.
"Walau bagaimanapun, keadaan pasaran kerja dan aktiviti pelancongan yang lebih baik daripada jangkaan serta pelaksanaan projek berbilang tahun, termasuk yang digariskan dalam Belanjawan 2023, akan menghasilkan risiko pertumbuhan dalam negeri menjadi lebih tinggi," katanya.