Isnin, 27 March 2023 | 11:39am
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva - Foto Reuters
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva - Foto Reuters

IMF beri amaran risiko kestabilan kewangan meningkat

BEIJING: Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva memberi amaran bahawa risiko kepada kestabilan kewangan telah meningkat dan menegaskan 'keperluan untuk berwaspada' susulan ketidaktentuan dalam sektor perbankan kebelakangan ini.

Bercakap dalam satu forum di Beijing, Georgieva berkata beliau menjangkakan 2023 'akan menjadi satu lagi tahun mencabar', dengan pertumbuhan global menjadi perlahan di bawah 3.0 peratus berikutan perang di Ukraine, pengetatan monetari dan 'parut' daripada pandemik.

"Ketidaktentuan adalah amat tinggi, dengan tinjauan bagi ekonomi global berkemungkinan kekal lemah dalam jangka sederhana," katanya pada Forum Pembangunan China.

"Adalah turut jelas bahawa risiko kepada kestabilan kewangan telah meningkat," tambahnya.

"Pada ketika paras hutang lebih tinggi, peralihan pantas daripada tempoh kadar faedah rendah berpanjangan kepada kadar yang meningkat lebih tinggi, yang perlu untuk membendung inflasi, tidak dapat mengelak daripada mencetuskan tekanan dan ketidaktentuan, seperti terbukti oleh perkembangan dalam sektor perbankan di beberapa negara maju baru-baru ini.

Kenyataannya dibuat selepas sektor kewangan digegarkan oleh keruntuhan Silicon Valley Bank dan pengambilalihan terdesak bank Switzerland, Credit Suisse oleh pesaingnya, UBS, mencetuskan kebimbangan ia boleh merebak.

Saham-saham perbankan menjunam pada Jumaat lalu selepas masalah dalam sektor kewangan muncul semula, dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz terpaksa memberikan jaminan terhadap Deutsche Bank selepas penyedia pinjaman yang telah lama bermasalah itu menjadi tumpuan pelabur.

Georgieva berkata, pembuat dasar telah bertindak dengan tegas bagi bertindak balas kepada risiko kestabilan kewangan.

"Tindakan berkenaan telah meredakan sedikit tekanan pasaran, namun ketidaktentuan adalah tinggi yang mencerminkan keperluan untuk berwaspada," katanya.

Pemimpin IMF itu bagaimanapun berkata pemulihan China adalah perkembangan yang baik untuk ekonomi dunia.

IMF mengunjurkan ekonomi China akan berkembang 5.2 peratus tahun ini, dipacu oleh pemulihan dalam perbelanjaan swasta apabila negara itu dibuka semula selepas pemencilan pandemik.

"Pemulihan kukuh itu bermakna China dijangka merangkumi kira-kira satu pertiga pertumbuhan global pada 2023, memberikan suntikan yang amat diharapkan kepada ekonomi dunia," katanya.

"Kenaikan satu mata peratusan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China membolehkan kenaikan 0.3 mata peratusan pertumbuhan di ekonomi Asia lain, secara purata."

Georgieva menggesa pembuat dasar China mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti dan menyeimbangkan semula ekonomi daripada pelaburan, ke arah pertumbuhan yang lebih dipacu oleh penggunaan bertahan lama.

"Pembaharuan berorientasikan pasaran untuk menyeimbangkan sektor swasta dan perusahaan milik negara, bersama dengan pelaburan dalam pendidikan, akan meningkatkan dengan ketara kapasiti produktif ekonomi," katanya.

-AFP

Berita Harian X