KUALA LUMPUR: Tekanan inflasi dijangka reda dengan indeks harga pengguna (IHP) kembali ke paras 3.0 peratus pada tahun ini, kata penganalisis.
AmResearch mengekalkan unjuran berkenaan meskipun IHP, yang menjadi penanda aras utama inflasi negara untuk Februari berada pada paras 3.7 peratus, sama seperti bacaan pada Januari.
Ia susulan inflasi teras juga kekal pada 3.9 peratus tahun ke tahun pada Februari tetapi masih di bawah paras kemuncak 4.2 peratus yang direkodkan pada November 2022.
Asas bulan ke bulan, inflasi teras tumbuh lebih perlahan sebanyak 0.2 peratus pada Februari berbanding 0.4 peratus pada bulan sebelumnya.
"Inflasi teras sepatutnya menghampiri 2.0 peratus menjelang sekitar Oktober 2023, seperti yang dipandu oleh analisis sejarah kami.
"Secara keseluruhan, kami mengekalkan ramalan kami bahawa inflasi utama dijangka berada pada 3.0 peratus tahun ini," kata AmResearch dalam nota penyelidikannya.
Firma penyelidik itu berkata, kelembapan itu sebahagiannya mencerminkan harga komoditi keseluruhan yang telah berkurangan berbanding tahun lalu dan menambah baik rantaian bekalan dan logistik.
"Oleh itu, tekanan harga yang datang dari aspek pembekalan akan berkurangan.
"Kami melihat perkara yang sama dari segi permintaan, di mana pertumbuhan upah dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berada pada arah aliran menurun sejak suku ketiga 2022.
"Aktiviti pekerjaan, yang dikaitkan dengan inflasi teras, juga semakin perlahan selepas memuncak pada 4.5 peratus pada Julai 2022," katanya.
AmResearch berkata, walaupun inflasi dijangka terus susut dalam beberapa bulan akan datang, sebarang kejutan menaik mungkin berpunca daripada susut nilai ringgit yang lebih ketara, isu logistik untuk bekalan makanan, dan perubahan dalam harga runcit petrol.
Inflasi untuk makanan & minuman bukan alkohol meningkat kepada 7.0 peratus tahun ke tahun pada Februari didorong kenaikan harga daging (9.0 peratus), sayur-sayuran (5.8 peratus) dan buah-buahan (4.7 peratus).
Berdasarkan PriceCatcher oleh OpenDOSM, harga beberapa barangan makanan mentah lebih tinggi pada awal Mac, yang sebahagiannya mungkin disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi menjelang musim perayaan.
Barangan terbabit termasuk pulut (43.0 peratus), bawang import (35.3 peratus), serbuk cili (27.9 peratus) dan ayam (16.9 peratus).
Berhubung prospek kadar faedah, firma penyelidik itu berkata, ia mengekalkan unjuran kenaikan 25 mata asas lagi tahun ini kepada 3.0 peratus, sebahagian besarnya didorong oleh keperluan untuk menambat inflasi teras dan mengekalkan kedudukan kadar benar yang positif.
"Kami melihat kemungkinan kenaikan kadar berlaku dalam mesyuarat akan datang pada Mei, selepas terhenti pada Januari dan Mac untuk membolehkan ekonomi menyesuaikan diri dengan kenaikan kadar 100 mata asas terkumpul yang dibuat tahun lalu," katanya.