Jumaat, 24 March 2023 | 4:05pm
Inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8 peratus pada Februari -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8 peratus pada Februari -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Hujan lebat punca harga makanan meningkat

PUTRAJAYA: Hujan lebat berterusan sejak akhir Disember 2022 hingga Februari 2023 di beberapa negeri mendorong kepada kenaikan harga makanan, terutamanya sayur-sayuran, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kesan daripada perubahan monsun ini, inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8 peratus berbanding 1.0 peratus pada Januari 2023.

Secara bulanan, beliau berkata sayur-sayuran merekodkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus berbanding 0.7 peratus pada Januari 2023.

Katanya, antara sayur-sayuran yang mencatatkan kenaikan tahun ke tahun adalah timun (24.8 peratus) dengan purata harga RM5.20 sekilogram, bendi (19 peratus) dengan purata harga RM11.66 sekilogram, tomato (17.1 peratus) dengan purata harga RM8.73 sekilogram dan bayam (16.8 peratus) dengan purata harga RM6.53 sekilogram.

"Manakala, beberapa sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan adalah kubis bulat (-7.2 peratus) dengan purata harga RM4.73 sekilogram, cili hijau segar (-2.0 peratus) dengan purata harga RM14.77 sekilogram dan cili merah segar (-2.6 peratus) dengan purata harga RM17.02 sekilogram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal 3.7 peratus pada Februari, didorong oleh kenaikan 7.4 peratus harga di restoran dan hotel serta peningkatan 7.0 peratus harga makanan dan minuman bukan alkohol.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata subkumpulan daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatatkan peningkatan 9.0 peratus berbanding 8.3 peratus pada Januari 2023.

Beliau berkata, ayam merekodkan peningkatan 8.0 peratus berbanding 6.5 peratus pada bulan sebelumnya.

"Purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM9.46 pada Februari 2022 dan RM10.30 pada Januari 2023.

"Manakala, purata harga di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM9.76 sekilogram berbanding RM8.94 sekilogram pada Februari 2022 dan RM9.70 pada Januari 2023, melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM9.40," katanya.

Beliau berkata, peningkatan pada subkumpulan ini turut didorong oleh peningkatan daging babi (31.8 peratus) dan itik (10.5 peratus).

Katanya, secara bulan ke bulan, daging segar meningkat sebanyak 0.5 peratus, disumbangkan oleh peningkatan daging babi yang mencatatkan kenaikan 2.4 peratus, diikuti oleh daging ayam dan daging itik masing-masing meningkat sebanyak 0.4 peratus.

"Peningkatan dua angka daging babi yang berterusan semenjak Mei 2022 adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan susulan Demam Babi Afrika yang melanda beberapa negeri.

"Walau bagaimanapun, daging lembu mencatatkan penurunan sebanyak negatif 0.1 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata, subkumpulan susu, keju dan telur meningkat dengan kadar yang perlahan 6.6 peratus pada Februari 2023.

Katanya, telur ayam yang menyumbang 22.8 peratus wajaran kepada subkumpulan meningkat pada kadar yang sama seperti Januari 2023 iaitu 4.5 peratus.

"Bagi memastikan bekalan telur ayam kekal stabil, pada 27 Februari 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan akan meneruskan pemberian subsidi bagi telur dan ayam sehingga Jun 2023," katanya.

Berita Harian X