KUALA LUMPUR: Langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk masih lagi menaikkan kadar faedah meskipun pada tahap lebih perlahan dilihat cenderung menyebabkan emas kurang menarik kepada pelabur.
Pengarah Urusan GG Ornaments Sdn Bhd (Gdora Malaysia), Norazlan Nordin, berkata dengan kenaikan kadar faedah, pelabur akan menukar instrumen pelaburan kepada yang menawarkan pulangan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, katanya kesan kenaikan kadar faedah tidak bersifat sejajar kepada emas kerana terdapat faktor lain yang boleh mempengaruhi aset selamat itu termasuk krisis geopolitik yang turut memberi kesan kepada permintaan dan penawaran emas.
"Dengan kenaikan kadar faedah Fed, pelabur lebih cenderung meneroka pelaburan yang menawarkan hasil lebih tinggi. Kenaikan kadar akan memberi kesan kepada harga emas di mana paras semasa sudah rendah jika dibandingkan dengan pelbagai instrumen lain termasuk bon.
"Namun ketika ini, sentimen boleh berubah serta-merta disebabkan krisis perbankan dunia yang berlaku menyebabkan tahap keyakinan pelabur bagaikan pudar dan emas masih jadi pilihan walaupun tidak terlalu optimis disebabkan isu semasa yang berlaku," katanya kepada BH.
Bank pusat AS pada Rabu lalu menaikkan sekali lagi kadar faedah sekali lagi, walaupun terdapat kebimbangan bahawa langkah itu boleh menambah masalah kewangan selepas beberapa bank runtuh.
Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 0.25 mata peratusan selepas menyatakan sistem perbankan negara itu masih berdaya tahan.
Kenaikan kadar faedah pada hari Rabu adalah yang kesembilan berturut-turut oleh Fed.
Ia meningkatkan kadar faedah utamanya kepada 4.75 peratus hingga 5.0 peratus, meningkat daripada hampir sifar setahun lalu, paras tertinggi sejak 2007.
Sementara itu, peniaga dan pemilik Kedai Emas Jesselton berpangkalan di Kota Kinabalu, Faizul Moktar berkata, kenaikan kadar faedah Fed boleh memberikan kesan yang bertentangan kepada sentimen emas.
Katanya, sebagai aset yang tidak membayar faedah atau dividen, emas cenderung kurang menarik untuk pelabur apabila kadar faedah meningkat kerana ia akan menjadi lebih mahal untuk memegang aset yang tidak menghasilkan pendapatan.
"Oleh itu, apabila Fed menaikkan kadar faedah, biasanya harga emas akan menurun kerana permintaan akan menurun akibat peningkatan kos memegang aset ini. Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang boleh mempengaruhi harga emas, seperti ketidakstabilan pasaran, inflasi, dan ketidakpastian geopolitik.
"Pelabur mungkin akan mencari pelaburan lain yang dapat menghasilkan pulangan yang lebih tinggi seperti saham, bon, atau hartanah yang dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi dengan kenaikan kadar faedah," katanya.
Bagaimanapun, Faizul berkata, jika kenaikan kadar faedah dihentikan oleh Fed, emas mungkin menjadi lebih menarik sebagai pilihan pelaburan kerana langkah menghentikan kenaikan kadar faedah biasanya menunjukkan bahawa pihak berkuasa monetari berasa kurang yakin terhadap pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
"Ini boleh menyebabkan pelabur mencari perlindungan dalam aset yang dianggap lebih selamat seperti emas, dan oleh itu ia akan meningkatkan permintaan untuk emas.
"Bagaimanapun, keuntungan pelaburan emas tidak hanya bergantung pada kadar faedah. Faktor lain seperti kestabilan pasaran, inflasi, dan ketidakpastian geopolitik juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan harga emas dan keuntungan pelaburan emas.
"Oleh itu, sebelum membuat keputusan pelaburan, adalah penting untuk mempertimbangkan semua faktor yang mempengaruhi harga emas dan pasaran kewangan secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata, secara umumnya, paras rintangan dan sokongan dalam pasaran emas boleh berubah dari masa ke masa bergantung kepada keadaan semasa pasaran dan berapa banyak pembeli atau penjual yang ada dalam pasaran pada masa itu.
"Adalah penting untuk diingat bahawa harga emas dipengaruhi oleh pelbagai faktor selain kadar faedah termasuk inflasi, kestabilan pasaran, dan permintaan global. Oleh itu, walaupun kadar faedah dinaikkan, harga emas mungkin berubah bergantung kepada situasi dan faktor pasaran yang lain," katanya.